Malaysia Dateline

Kompleks penjaja di Kuala Ketil terbiar, tidak dimanfaatkan untuk rakyat

Kegagalan kerajaan negeri Kedah khususnya Perbadanan Kemajuan Pembangunan Negeri Kedah memanfaatkan 20 gerai penjaja yang terbiar sejak 2013 di Taman Perindustrian Kuala Ketil, Baling, amat merugikan penjaja dan rakyat negeri ini.

Ketidakpedulian ini juga menyerlahkan lagi ketidaksungguhan kerajaan negeri yang diterajui Umno-BN untuk membantu penjaja dan peniaga kecil terutamanya bagi kawasan Parlimen Baling.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris.

Asmirul Anuar Aris

Menurut beliau lagi, projek ini merupakan satu lagi projek ‘gajah putih’ yang merugikan wang rakyat dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Ia turut membuktikan kegagalan kerajaan Umno-BN dalam menyelesaikan isu rakyat serta tidak merealisasikan slogan BN dalam manifesto pilihan raya 2013 mereka yang dilaung-laungkan iaitu ‘BN menang, rakyat Kedah senang’.

“Cuba kita renungkan begitu banyak sekali wang rakyat yang telah dihabiskan oleh kerana kegagalan ini sedangkan perbelanjaan yang telah lebur tersebut sepatutnya dapat menjana ekonomi penduduk Baling.

Sebahagian daripada kompleks penjaja yang terbiar di Taman Industri Kuala Ketil.

“Secara jelas ia memperlihatkan bagaimana Ahli Parlimen Baling yang diterajui Umno gagal menyelesaikan masalah dalam parlimen yang diwakili oleh beliau sehinggalah kini,” ujarnya lagi.

Asmirul yang juga merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan turut mempersoalkan bagaimana seorang yang diamanahkan memegang portfolio tertinggi Lembaga Urusan Tabung Haji tidak prihatin dan memberi perhatian dalam isu melibatkan keperluan rakyat marhaen.

“Kerosakan yang begitu banyak berlaku di kompleks penjaja tersebut termasuklah kecurian dan kehilangan segala persediaan adalah kerugian yang amat besar sekali.

Keadaan pintu masuk yang lengkap tetapi telah rosak kerana tidak dimanfaatkan begitu lama.

“Sepatutnya kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Anipah yang kerap mendakwa mempunyai kabel dan hubungan yang rapat dengan Perdana Menteri boleh menyelesaikan kemelut ini kerana ia telah berlarutan begitu lama.

“Namun begitu, ia tidak langsung dipedulikan sehinggakan keperluan yang boleh memberi pulangan yang amat besar kepada penjaja serta penduduk Baling tidak dapat dimanfaatkan,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, secara jelas ia membuktikan bahawa kerajaan Umno-BN Kedah sememangnya tidak memberi perhatian terhadap isu lokal yang amat merugikan rakyat.

Sebaliknya mereka hanya bijak melaung dan mencipta slogan sepertimana yang diuar-uarkan dalam bajet 2018 baru-baru ini.

“Tema bajet 2018 kerajaan negeri Kedah ‘menerus kemajuan, menzahir impian’ hanyalah retorik dan penyedap kata semata-mata.

“Ia tidak mudah untuk direalisasikan, sedangkan isu sekecil ini pun sukar untuk mereka selesaikan sejak menerajui kepimpinan.

“Oleh kerana itu rakyat negeri Kedah mesti bangkit dan berani membuat perubahan menjelang pilihan raya umum ke-14 yang akan datang,” jelasnya.

Tambah Asmirul lagi, memberi mandat dan peluang kepada Umno-BN dalam pilihan raya umum yang akan datang akan mensengsarakan rakyat serta membankrapkan lagi dana yang ada.

Justeru katanya, rakyat Kedah mesti menolak Umno- BN serta Pas daripada terus mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat supaya nasib golongan bawahan dibela, sebaliknya beri mandat kepada Pakatan Harapan untuk membuktikan cara pentadbiran yang memberi perhatian kepada rakyat.

Katanya lagi, kepimpinan negeri Pulau Pinang dan juga Selangor boleh dijadikan perbandingan bagaimana nasib rakyat diberi perhatian serius melalui pelbagai program peduli rakyat yang diperkenalkan sejak menerajui kepimpinan pada 2008 yang lalu.