Malaysia Dateline

Komplot jahat gerombolan ‘kawaq’ tebuk atap bermula lebih awal

Usaha bentuk kerajaan pintu belakang bukan bermula pada 24 Februari lalu. Komplot jahat gerombolan ‘kawaq’ (pencuri) tebuk atap tidak bermula apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri.

Cerita pengkhianatan, pembelotan dan kecurangan bukan dirancang di Sheraton malam minggu itu. Episod yang membelakangi mandat dan amanah rakyat ini bermula lebih awal.

Konspirasi jelik ini disusun licik, mengharapkan Tun bersama, menubuhkan kerajaan tanpa DAP-Anwar Ibrahim. Namun, skrip asalnya tidak menjadi apabila Tun bantah, enggan bersama kleptokrat dan penjenayah.

Pengkhianat tidak berputus asa, mereka licik mencari jalan keluar, asalkan matlamat tercapai. Biarpun kelihatan sebagai penyokong-pendukung setia Tun, demi impian sebenar dan kerakusan kuasa, Tun pun dikhianati.

Tiada sebarang masalah untuk mengecewakan Tun. Ya, ketamakan seringkali tiada hadnya. Tiada istilah setia dalam kamus hidup jemaah pengkhianat. Dalih senang dicari dan direka.

Tun terpaksa letak jawatan apabila hilang sokongan majoriti. Parti yang ditubuhnya sendiri mengkhianati. Rakan-rakan yang selama ini dipercayainya, dalam Bersatu, geng Azmin dan kumpulan MP bekas Umno yang masuk PPBM pun tikam berdepan.

Ditambah sokongan Pas dan Umno yang sentiasa mengintai peluang untuk menjadi kerajaan, kerajaan pilihan rakyat runtuh, disusuli doa dan sujud syukur para pengkhianat dan kawaq tebuk atap.

Biarpun Pas selalu melafazkan sokongan terbuka buat Tun, peluang terbaik itu direbutnya pantas. Lupa ia dengan pengalaman pahit kerajaan negeri Pas ditumbangkan di Terengganu 1961, Kelantan 1978 dan Perak 2009, melalui “rampasan kuasa” secara undang-undang dan berperlembagaan.

Pas pula langsung tiada masalah dengan geng penyamun-pencuri wang negara sejak sebelum PRU14 lagi.

Persetankan segala etika, akhlak dan moral asalkan nampak berperlembagaan. Tidak kisah ikut pintu belakang, pecah tingkap atau tebuk bumbung!