Malaysia Dateline

Komplot, penghianatan tidak dapat selamatkan pemimpin Umno dari proses kehakiman

Apakah komplot dan pengkhianatan yang dilakukan akan dapat menyelamatkan pimpinan Umno dari proses kehakiman?

Demikian diluahkan oleh Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad (gambar atas).

Malah kata beliau, kemelut politik yang telah dirancang tersebut menyaksikan demokrasi dicabuli dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan tidak mampu untuk menstabilkan kedudukan parti yang didakwa sedang menerajui kepimpinan negara tatkala ini.

Sebetulnya ujar Dr Roslan, kerajaan PH yang telah dibina 20 bulan yang lalu adalah melalui sistem demokrasi pilihan raya, sebaliknya dijatuhkan secara khianat oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai maruah serta mementingkan diri semata-mata.

“Umum mengetahui bahawa keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 mencatatkan sejarah apabila kerajaan kleptokrasi BN yang menguasai pemerintahan selama lebih 60 tahun akhirnya tumbang dengan kuasa rakyat.

“Pelbagai faktor yang menyebabkan kemenangan PH dikenalpasti termasuklah gabungan PH yang diyakini dan diterajui oleh dua tokoh politik utama negara, iaitu Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selain itu penyelewengan dana awam berbilion ringgit oleh kleptokrat elit dalam kes 1MDB dan janji manifesto PH untuk mereformasikan beberapa institusi seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seumpamanya turut mendorong kearah kejayaan yang diraih, ” jelas beliau.

Tambahnya, janji reformasi sistem kehakiman SPRM dalam manifesto PH ditunaikan dan hasilnya para kleptokrat elit diheret ke muka pengadilan.

“Sehingga kini beberapa kes berprofil tinggi 1MDB melibatkan pimpinan Umno masih lagi dalam proses perbicaraan dan beberapa kes lain yang juga melibatkan pimpinan Umno menanti untuk dibicarakan.

“Dalam keadaan pimpinan Umno yang terdesak oleh kes-kes mahkamah, langkah untuk kembali berkuasa dan menjadi kerajaan umpama ‘pucuk dicita ulam mendatang’.

“Mungkinkah komplot Datuk Seri Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka dapat membantu menyelamatkan sebahagian pemimpin Umno dari proses kehakiman adalah umpama drama bersiri yang sedang dinanti-nantikan,” tegasnya.

Yang pasti kata beliau, drama dengan episod berubah-ubah ini tidak akan berpanjangan dan akan berakhir tidak lama lagi setelah satu demi satu babak tidak dapat dicantum dan terputus ditengah jalan tanpa penghasilan sepertimana yang diharapkan.