Setelah digelar kafir harbi oleh Mufti Pahang, DAP mempersoalkan mengapa ia hanya ditujukan kepada parti itu sedangkan ‘pelaksanaan hukum hudud versi Pas’ turut ditentang lebih keras oleh Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan parti komponen BN lain termasuk Gerakan, MIC dan MCA?
Sehubungan itu DAP sangat kesal dengan kenyataan Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman yang berkata bahawa “hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar” dan menyifatkan DAP sebagai “kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam”.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, amat dukacita dengan tindakan Abdul Rahman yang sanggup mencemarkan kedudukannya sebagai mufti di bulan Ramadan dengan mengeluarkan tohmahan yang tidak berasas dan amat merbahaya.
Malah tambah Zairil, kenyataan yang melampau dan melulu itu seolah-olah mengiyakan ugutan keganasan terhadap warga dan pihak berkuasa Malaysia yang dibuat oleh militan Daesh (IS).
“Justeru, adakah Abdul Rahman ingin bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini terhadap pemimpin atau ahli DAP akibat tindak balas mereka yang terpedaya dengan kenyataan beliau?” soal beliau.
Zairil menambah, penyasaran DAP atas sebab ‘menentang pelaksanaan hukum hudud’ jelas membuktikan kenyataan Abdul Rahman berunsur politik.
Ini kerana katanya, pelaksanaan hukum hudud versi Pas bukan hanya dikritik DAP, malah ditentang lebih keras oleh sekutu BN termasuk Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
“Demikian juga dengan parti komponen BN lain termasuk Gerakan, MIC dan MCA yang jauh lebih lantang menolak pelaksanaan hudud. Mengapa tiada sebarang kecaman dan ugutan untuk diperangi terhadap mereka ini?
“Malah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun melihat hudud yang dijuarai Pas sebagai taktik politik semata-mata, dan tidak melihat adanya keperluan melaksanakan undang-undang ini melainkan hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat. Apakah beliau juga wajib diperangi?” soal Zairil.