Malaysia Dateline

Komponen GPS bertelagah rebut kerusi DUN Dudong

Dua parti dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat bertelagah apabila masing-masing mahu meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong pada Pilihan Raya Negeri (PRN)Ke-12 Sarawak akan datang.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dilaporkan telah menyuarakan rasa tidak senang dengan tindakan kepimpinan Parti Progresif Demokratik (PDP) yang mencalonkan Presidennya Dato Sri Tiong King Sing sebagai calon GPS di kerusi tradisi SUPP iaitu DUN Dudong.

Dr Sim dipetik sebagai berkata, kedudukan Tiong sebagai Ahli Parlimen Bintulu untuk fokus kepada dua kawasan pilihan raya sekiranya dia tidak tinggal di kawasan yang diperuntukkan dijangka akan menyukarkan tugasnya sendiri.

“Apa itu YB? Seorang YB bermaksud anda adalah wakil rakyat untuk penduduk di kawasan berkenaan. Cuba anda bayangkan, saya bertanding di Bintulu dan tinggal di Kuching? Itu merupakan cabaran,” tegasnya.

Katanya lagi, wakil rakyat GPS haruslah bersatu dalam persedian menghadapi pilihan raya nanti sambil mendedahkan bahawa SUPP telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg berkaitan 20 calon daripada partinya.

Sementara itu, kelmarin Naib Presiden Kanan PDP Kaunselor Teo Boon Siew telah mengumumkan keputusan meletakkan Tiong sebagai calon kerusi Dudong pada PRN Ke- 12 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

“Dengan keputusan ini, jentera parti sudah bersiap sedia untuk tujuan tersebut.

“Malah kerusi yang dianggap kerusi tradisi itu adalah hak kerajaan untuk menentukan parti mana yang layak bertanding kelak,” ujar Teo.