Komponen Pemuda PH Perak siapsiaga jentera kempen PRK Cameron Highlands

Komponen Pemuda PH Perak siapsiaga jentera kempen PRK Cameron Highlands

Pemuda Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak akan menggerakan seluruh jenteranya bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Ketua Pemuda PH Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata,empat parti komponen iaitu AMANAH, PKR, DAP dan Bersatu akan berpadu tenaga dan keringat bagi memastikan calon Pakatan Harapan iaitu M Manogaran menang di kerusi tersebut.

“Perak adalah negeri terdekat dengan parlimen tersebut, atas faktor itu jentera dan bantuan daripada negeri ini pastinya ditagih dalam usaha merampas kerusi Cameron Highlands yang sebelum ini dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti hanya 597 undi.

“Bagi Pemuda PH Perak, PRK Cameron Highlands adalah sangat penting kerana ia merupakan platform untuk menilai aras sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan setelah membentuk kerajaan pada PRU14 yang lalu.

“Dengan kemenangan di kerusi ini, Pakatan Harapan akan menambahkan lagi satu majoriti di dalam parlimen seterusnya menguatkan lagi kerajaan yang ada,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong berkata, suasana politik semasa serta keadaan BN ujarnya, yang seolah “hidup segan mati tak mahu”, meyakinkan PH akan berjaya merampas kerusi tersebut.

“Kami menyeru seluruh jentera untuk turun membantu kempen Pakatan Harapan bermula daripada sekarang,” ujarnya.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini dan hari pembuangan undi pada 26 Januari, yang mana tempoh berkempen selama 14 hari.

ada 30 November lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Pada PRU-14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dari PKR yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd. Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).