Malaysia Dateline

Komponen PH harus berubah dan baiki keadaan

AMANAH Negeri Pulau Pinang menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr  Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa komponen dalam Pakatan Harapan (PH) harus berubah dan membaiki keadaan sekiranya tidak mahu menjadi kerajaan sepenggal.

Dr Roslan Ahmad

Pengerusinya, Dr Roslan Ahmad dalam kenyataan berkata, semua pihak harus segera berhenti mempertikaikan maupun berbalah dalam apa jua isu sesama sendiri dan sesama rakan komponen lain secara terbuka.

“Segala pertikaian haruslah dibincang secara dalaman melalui meja rundingan.

“Kami juga senada dengan Presiden AMANAH yang mahukan kerajaan bekerja lebih kuat lagi bagi memulihkan ekonomi rakyat agar dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Fokus kita tidak harus terganggu dengan isu kaum dan agama yang sengaja dimainkan, sebaliknya menumpukan perhatian serius bagi menyelesaikan baki 40 peratus manifesto pada tahun 2020, ” ujarnya.

Menurut Dr Roslan lagi, isu-isu rakyat harus dijuarai dan bukannya menjuarai pergaduhan dan pertikaian sesama sendiri.

Tambah beliau, sebenarnya rakyat semakin bijak menilai dan mesej yang diberikan melalui beberapa keputusan pilihan raya kecil yang lalu mestilah diberi pandangan serius dan tidak wajar dipandang enteng oleh mana-mana pihak sekalipun.

Semalam Dr Mahathir dalam kenyataan dipetik berkata beliau tidak fikir PH akan menjadi kerajaan sepenggal seperti yang dicanang-canangkan kecuali itu yang dimahukan oleh rakyat negara ini.

Manakala  , Chow Kon Yeow yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dalam kenyataan balas terhadap kenyataan Dr Mahathir itu turut menyeru agar semua pemimpin parti komponen PH perlu terus bekerja keras dan berubah membaiki keadaan atau berdepan risiko kehilangan mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.