Malaysia Dateline

Komposisi Jemaah Menteri berbilang kaum stabilkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan

Disebabkan kerencaman kaum dan agama yang sering dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN), Kerajaan Perpaduan dianggap wasilah yang mampu menjernihkan kesemua kehendak tuntutan rakyat kerana asas utama pembentukan kerajaan ini ialah semua dasar kerajaan perlu diputuskan secara politik permuafakatan.

Hal ini terbukti dengan komposisi kaum Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan jumlah Jemaah Menteri daripada kaum Melayu dan Bumiputera jauh lebih ramai dengan 41 orang manakala 14 orang Menteri dan Timbalan Menteri terdiri daripada kaum Cina dan India.

Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata pentadbiran dan pengurusan sesebuah kerajaan mestilah menggambarkan suasana kepelbagaian masyarakat dan juga rakyat Malaysia.

“Banyak perkara (isu perkauman) yang berlaku di media sosial terutamanya adalah banyak berkenaan propaganda dan mainan persepsi yang hakikatnya disedari bahawa landskap politik dan latar belakang Malaysia adalah terdiri daripada keunikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama.

“Sudah tentu apabila kita tadbir dan urus dengan cara sentimen perkauman atau agama yang sempit adalah sangat tidak sesuai serta sangat-sangat tidak selari dengan suasana yang diperlukan untuk Malaysia,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Menurut beliau, negara ini boleh bertambah maju, makmur dan sejahtera sekiranya rakyat dapat berpegang kepada landskap politik dengan kepelbagaian kaum serta budaya yang ada di dalam Malaysia.

Pada 6 Disember lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan bahawa satu perjanjian gabungan antara semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan mampu membentuk kerajaan yang stabil dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, sejak dahulu semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah memang terdapat satu persefahaman kepada prinsip-prinsip asas untuk membolehkan kerajaan bergerak ke hadapan daripada segi politik atau pentadbiran negara.

“Saya rasa apabila kita lihat suasana itu dalam keadaan seperti kemelut kesihatan dan krisis politik, jalan keluarnya adalah laksanakan MoU tersebut dan sekarang saya rasa MoU ini sudah menjadi perkara rasmi dalam bentuk Kerajaan Perpaduan.

“Jadi apabila ada suasana yang begitu bermakna ada satu komitmen dan ikatan untuk berpegang kepada prinsip supaya ada kestabilan dan kemajuan daripada segi pembangunan ekonomi,” ujarnya.

Perjanjian tersebut dikatakan mampu meyakinkan rakyat terhadap pelbagai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dan ianya akan ditandatangani dalam masa terdekat.

Baca juga PM Anwar jamin tiada kenaikan tarif elektrik tetapi meningkat secara berfasa untuk syarikat multinasional