Komputer meja kekal relevan dalam e-dagang

Komputer meja kekal relevan dalam e-dagang

Komputer meja kekal relevan walaupun pertumbuhan trafik dan jumlah pembelian aplikasi mudah alih semakin jauh mengatasinya dalam ruang e-dagang.

ShopBack, pengendali program ganjaran tunai kembali, berkata walaupun pertumbuhan komputer meja adalah lebih perlahan, ia masih lagi relevan, khususnya untuk urus niaga yang lebih besar berikutan keluasan saiz skrin komputer jenis itu.

“Analisis kami menunjukkan walaupun gajet mudah alih terus mengatasi komputer meja bagi kadar pembelian dan melayari web, komputer meja kekal sebagai sebuah saluran yang lebih efektif untuk memandu pesanan yang bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

ShopBack berkata, hasil kajian itu didasarkan kepada analisis data dari Julai 2017 hingga Jun 2018, merentasi lima ekonomi di Asia Tenggara iaitu  Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand.

“Komputer meja tipikal boleh memberikan maklumat sekurang-kurangnya tiga kali lebih banyak berbanding telefon pintar, ianya sangat berguna untuk membuat perbandingan serta melaksanakan keputusan pembelian yang lebih kompleks seperti insurans atau tempahan perjalanan.

“‘Inovasi-inovasi seperti sambungan pelayar pada komputer meja menambah lagi kerelevanannya sebagai sebuah platform kerana ia memudahkan lagi pengalaman membeli-belah pengguna,” katanya.

— BERNAMA