Malaysia Dateline

Komunikasi efisien daripada kerajaan, bantu rakyat faham hala tuju dilakukan

Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS) berpandangan kerajaan perlu berkomunikasi secara lebih efisien kepada rakyat supaya masyarakat memahami hala tuju yang sedang dilakukan.

Penyelidik Eksekutif IDEAS, Muhammad Faiz Mohd Zaidi, berkata inisiatif kerajaan untuk menangani gejala rasuah melalui pelan anti rasuah adalah satu perkara yang baik.

Namun, katanya, yang menjadi persoalan kepada rakyat adalah, bagaimana kerajaan akan melaksanakan inisiatif berkenaan.

“Ini kerana kita tidak tahu apa yang kerajaan akan buat dan bagaimana mereka lakukan semua itu.

“Kerajaan tidak memberitahu strategi mereka dengan jelas, dan komunikasi itu adalah wadah paling penting supaya rakyat tahu dan faham terhadap setiap keputusan yang mereka lakukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersama IDEAS di Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), hari ini.

Sehubungan itu, berdasarkan kajian yang dilakukan pihaknya, Muhammad Faiz memaklumkan, kira-kira 22 peratus daripada janji berkaitan ekonomi yang diumumkan dalam manifesto sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lalu, dilihat sedang bergerak ke hadapan.

“Secara asasnya,kami menyimpulkan bahawa prestasi kerajaan pada ketika ini yang telah dicapai adalah enam peratus.

“Enam peratus itu adalah janji ekonomi termasuk membantu meringankan beban rakyat dan meningakatkan ekonomi negara.

“Setiap laporan dan analisis yang kita buat adalah 100 peratus berdasarkan Buku Harapan dan juga apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan PH,” katanya lagi.