Komuniti Ampang mohon kerusi PRU14 tidak didominasi satu parti

Sidang media wakil komuniti Ampang di Restoran Fathimah Ghous.

Gabungan NGO, pertubuhan, persatuan dan ahli masyarakat di Ampang, menyokong penuh Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon bagi kawasan Parlimen Ampang, Dun Bukit Antarabangsa dan Dun Lembah Jaya.

Bagaimanapun mereka ingin melahirkan sedikit pandangan sebagai masyarakat yang akan diberikan khidmat oleh wakil rakyat yang akan dipilih.

Dalam satu kenyataan bersama mereka berkata, mereka dimaklumkan bahawa Parlimen Ampang akan diwakili oleh parti PKR begitu juga Dun Bukit Antarabangsa yang diwakili oleh Datuk Seri Menteri Besar penggal yang lalu.

“Sebagai komuniti Ampang, kami telah melihat khidmat di kawasan ini telah dijalankan oleh beberapa komponen PH antaranya AMANAH dan PKR.

“Suka untuk kami tegaskan bahawa masyarakat di sini mahu melihat kerusi-kerusi di kawasan ini diberikan juga kepada parti-parti lain dalam PH dan tidak didominasi oleh satu parti sahaja,” kata mereka hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, mereka berpendapat strategi pembahagian begini akan memberikan kesan yang lebih baik kepada rakyat Ampang apatah lagi jika ada satu parti tidak dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan, kami boleh juga merujuk kepada parti satu lagi.

Begitu juga dari segi bantuan yang akan kami dapat. Ianya akan menyebabkan parti-parti ini bersaing bagi memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat, kata mereka.

“Kami dengan tegas menolak dominasi satu parti kerana ianya akan merugikan kami sebagai rakyat. Semak imbang dalam penyelesaian masalah juga tidak akan berlaku jika konsep dominasi ini diamalkan dan masyarakat tiada pilihan kedua untuk meluahkan masalah yang berbangkit.

“Kami juga mencadangkan supaya AMANAH diberikan kepercayaan bagi membela nasib dan menyelesaikan masalah di Ampang ini.

“Kami telah menjadi saksi bahawa AMANAH telah menjalankan kerja-kerja membantu masyarakat dengan penuh dedikasi sehingga ke pintu rumah dan kami dapat merasainya dalam tempoh tiga tahun ini. Kami juga sangat selesa dengan layanan dan khidmat mesra yang telah diberikan oleh mereka,” tambah kenyataan tersebut.

Sebagai pertubuhan, persatuan, NGO yang sangat dekat dengan masyarakat Ampang, memohon pimpinan tertinggi PH agar mendengar cadangan dan rayuan kami ini, kata kenyataan tersebut.