Malaysia Dateline

Komuniti pelarian juga perlu dibantu hadapi krisis Covid-19

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan juga kerajaan Malaysia supaya turut membantu komuniti pelarian di negara ini yang miskin dan sangat memerlukan bantuan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa sekarang.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Komuniti pelarian adalah kumpulan yang tidak termasuk dalam sebarang bantuan dalam pakej yang diumum oleh Perdana Menteri semalam.

“Sementara kerajaan terpaksa mendahulukan warga negara sendiri namun atas sifat kemanusiaan, golongan ini perlu juga disantuni kerana mereka sangat bergantung kepada pekerjaan tidak tetap dan mereka juga terhimpit bila terputus mata pencarian kerana wabak Covid19.

“Mereka bergantung hidup atas ehsan kerajaan untuk tinggal di negara ini dan sokongan NGO dan masyarakat yang bersimpati untuk membantu.

“Dalam keadaan wabak Covid19 yang melanda sekarang, mereka lebih merasai penderitaan untuk mendapatkan makanan asas. Dalam keadaan kritikal ini mereka tidak ada sumber samasekali untuk meneruskan hidup,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, Mapim menyeru NGO kebajikan dan kemanusiaan supaya turut menghulurkan bantuan kepada mereka agar mereka boleh bertahan untuk hidup dalam keadaan tidak boleh keluar dari rumah.

Mapim ujarnya, amat prihatin dengan keadaan kanak-kanak, wanita dan warga tua serta yang sakit, yang tidak mendapat sebarang bantuan kemanusiaan dalam keadaan yang kritikal ini.

“Kami menyeru pihak kerajaan bekerjasama dengan pihak UNHCR untuk mencari jalan terbaik bagaimana golongan ini tidak terbiar tanpa sebarang bantuan,” katanya lagi.