Komuniti perniagaan Malaysia digesa rebut peluang yang ditawarkan CPEC Pakistan

Komuniti perniagaan Malaysia digesa rebut peluang yang ditawarkan CPEC Pakistan

– Komuniti perniagaan Malaysia dan pemain utama digesa merebut peluang yang ditawarkan dalam pasaran Pakistan, khususnya projek Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim, berkata projek CPEC – sebuah pelan induk 15 tahun di bawah inisiatif ‘One Belt, One Road’ (OBOR) – merupakan satu peluang bagi membolehkan ahli perniagaan tempatan meneliti serta menembusi pasaran itu, yang membabitkan jalan raya dan landasan kereta api dari bandar Kashgar di wilayah Xinjiang di Barat China ke pelabuhan kedua terbesar Pakistan, Gwadar.

“Sejak perubahan kerajaan dan pertukaran lawatan ketua-ketua negara baru-baru ini, kedua-dua pihak kini bergerak ke arah perkongsian dan kerjasama di tahap yang lebih tinggi.

“Projek mega CPEC adalah satu peluang pasaran besar yang tidak boleh dilepaskan oleh penggiat perniagaan Malaysia.

“Di sinilah Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan (MALPAK) harus memainkan peranan besar mereka dalam memudahkan pertemuan perniagaan dan membantu meningkatkan hubungan perniagaan di kedua-dua belah pihak,” kata Ikram kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama di Persidangan Peluang-Peluang Perniagaan Pakistan-Malaysia (BOC) di sini pada Isnin.

BOC menghimpunkan lebih 300 peserta termasuk kira-kira 150 syarikat Malaysia yang mewakili pelbagai sektor termasuk pelancongan, farmaseutikal, kimia, plastik, tekstil, barangan pembedahan, perabot dan pembinaan.

Anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Rawalpindi (RCCI), sebuah dewan perniagaan dari Pakistan, BOC adalah permulaan kepada majlis Anugerah Pencapaian ke-32 RCCI yang dijadualkan pada Selasa malam, dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tetamu kehormat.

Berkongsi pandangan dengan Ikram, Kuasa Usaha Pakistan ke Malaysia Atif Sharif Mian berkata CPEP akan terus mewujudkan lebih banyak pelaburan bersama dalam jangka panjang.

“Dari konteks Pakistan, projek itu merupakan satu pelaburan US$40-50 bilion dan ia akan meningkatkan semua infrastruktur serta merentasi sektor ekonomi Pakistan yang lain. Ia adalah satu koridor yang besar dan pasti membawa lebih banyak trafik untuk pelaburan.

“Malaysia, dalam hal ini, diketahui secara global sebagai negara yang baik dalam menyediakan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan landasan kereta api, jalan raya dan pembinaan, jadi negara ini juga boleh melabur dalam projek ini,” kata Atif.

Bertujuan meningkatkan kesalinghubungan serantau bagi perkembangan ekonomi Pakistan dan China, koridor ekonomi itu juga dilaporkan memberi manfaat kepada Iran, Afghanistan, India dan rantau Asia Tengah.

Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu pada Isnin, Atif berkata Malaysia dan Pakistan boleh melakukan lebih banyak lagi dan meningkatkan hubungan dua hala yang dikongsi setakat ini.

“Fokus BOC hari ini juga ialah untuk mempromosi dan membabitkan sektor swasta dari kedua-dua negara kerana pada akhirnya, meskipun kerajaan telah membantu memudahkan usaha itu, sektor swasta perlu mencari peluang bagi meningkatkan perdagangan dan tujuan pelaburan,” katanya.

Jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan ialah RM5.91 bilion tahun lepas, meningkat sebanyak 2.5 peratus berbanding RM5.76 bilion pada 2017.

Pakistan adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Selatan.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan diwujudkan pada 1957.- BERNAMA