Malaysia Dateline

Komuniti rahmah, berkasih sayang asas pencegahan keganasan terhadap wanita

Sempena sambutan Hari Antarabangsa Menghentikan Keganasan Berasaskan Gender pada hari ini 25 November 2020, Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional menyeru semua peringkat masyarakat menzahirkan keprihatinan dan meningkatkan kesedaran terhadap situasi keganasan terhadap wanita khususnya pada musim pandemik Covid-19 ini.

Kami memandang serius laporan media bahawa sehingga kini sebanyak 1,929 aduan berhubung kes keganasan rumah tangga diterima menerusi Talian Kasih 15999 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas, melibatkan majoriti kes keganasan fizikal, emosi dan seksual ke atas mangsa wanita.

Statistik keganasan terhadap wanita yang terus menerus meningkat di saat negara masih bergelut mengekang penularan pandemik Covid-19 ini mencetuskan kebimbangan sama ada segala tekanan emosi, ekonomi dan sosial di musim pandemik ini telah melunturkan nilai-nilai kasih sayang dan menghormati wanita di dalam keluarga dan masyarakat, sedangkan rumah dan lingkungan keluarga sewajarnya menjadi tempat paling selamat untuk semua khususnya wanita.

Dalam kita menggiatkan mesej-mesej cegah keganasan khususnya terhadap wanita dan memperkasakan segala aspek perlindungan dan undang-undang kepada pemandiri keganasan, kami menyeru masyarakat di setiap peringkat membiasakan mesej-mesej positif yang menekankan nilai-nilai kasih sayang dan sifat saling menghormati bagi membentuk masyarakat rahmah yang menjauhi segala elemen keganasan dalam kehidupan harian, walaupun dalam suasana penuh mencabar ketika ini.

Kami juga menekankan kepentingan mencegah keganasan dan penderaan sebelum ia berlaku, dengan menormalisasikan prinsip ‘toleransi sifar’ terhadap keganasan dan tiada alasan menghalalkan keganasan, di samping kerajaan sendiri harus memastikan bantuan-bantuan bersasar kepada keluarga dan komuniti berisiko bagi mengekang keganasan yang didorong oleh tekanan hidup di kala pandemik.

Pada peringkat undang-undang, dasar dan polisi, kami menuntut kerajaan mengambil tindakan segera dalam aspek-aspek berikut:

i. Peruntukan khusus harus diperuntukkan sebelum kelulusan Belanjawan 2021 ini bagi aspek pemerkasaan komuniti bagi membantu pencegahan keganasan sebelum berlaku, di samping menambah peruntukan daripada RM21 juta kepada sekurang-kurangnya RM50 juta untuk penubuhan Pusat Perlindungan Sosial Setempat bagi pemandiri keganasan.

ii. Pembentukan pelan tindakan peringkat nasional yang lebih holistik dengan tempoh masa dan sasaran pelaksanaan jelas bagi menangani keganasan berasaskan gender terutamanya wanita, dan tidak terhad kepada keganasan rumah tangga semata-mata.

iii. Pembentangan Rang Undang-undang Gangguan Seksual harus disegerakan dalam sesi Parlimen November-Disember 2020 ini bagi memastikan perlindungan dan penguatkuasaan menyeluruh dalam semua aspek keganasan berasaskan gender.

iv. Penambahbaikan undang-undang, dasar-dasar dan amalan negara di semua peringkat ke arah “toleransi sifar” dalam keganasan terhadap wanita, serta menekankan prinsip ‘no excuse for abuse’ dalam apa jua keadaan.

v. Bantuan kewangan dan perlindungan sosial mencukupi disasarkan terus ke semua peringkat keluarga khususnya kumpulan B40 dan M40 di kawasan bandar yang mencatatkan statistik keganasan lebih tinggi bagi menangani tekanan ekonomi keluarga kesan pandemik.

vi. Dana khas kepada agensi-agensi, pertubuhan-pertubuhan wanita dan badan-badan komuniti untuk menambah bilangan kaunselor komuniti dan program pemerkasaan kaunseling komuniti sebagai barisan hadapan mencegah keganasan dalam komuniti.

vii. Penambahan dana bersasar terus kepada pemandiri keganasan ke arah pengupayaan dan kehidupan berdikari setelah keluar dari kitaran keganasan.

Kami sekali lagi menegaskan bahawa di samping penguatkuasaan undang-undang berkesan serta aspek perlindungan kepada pemandiri keganasan, penghayatan nilai-nilai positif, kasih sayang, hormat-menghormati dan menghargai wanita merupakan asas utama mendidik masyarakat menjauhi keganasan terhadap wanita, dan setiap daripada kita khususnya kaum lelaki berperanan penting mewujudkan keluarga, rumah dan komuniti lebih selamat untuk wanita.

 

Penulis adalah Pengerusi Biro Kanun Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional