Konflik adik beradik berterusan, perkongsian ibu Shila Amzah di Instagram pula undang tanda tanya

Oleh KIM SYAZIE

Nampaknya persengketaan antara Shila Amzah dan adik beradiknya masih belum menemui titik nokhtah selepas satu persatu kisah dalam keluarga mula didedahkan kepada orang ramai. 

Bekas isteri kepada Datuk ND Lala, iaitu Fauziah Sarman pula dilihat kebanyakan masa hanya mendiamkan diri tanpa mengulas sebarang kemelut hubungan anak-anaknya.

Bagaimanapun, Fauziah pada semalam didapati memuat naik satu perkongsian di Instagram Story sehingga mengundang tanda tanya.

“Kucuplah orang tuamu sepuas-puasnya selagi tubuh mereka masih hangat.

“Kerana apabila tubuh mereka berubah menjadi dingin, itulah kucupan terakhir dari kamu,” kongsinya ringkas memetik Harian Metro.

Tidak dapat dipastikan sama ada ayat yang dikongsi ini berkaitan masalah yang dihadapi dalam keluarganya.

Fauziah atau Mamazie sememangnya sering tampil dengan perkongsian kata-kata motivasi dalam media sosialnya. Dia juga rajin menyertai program ilmu anjuran rakan-rakan penggiat seni.

Terdahulu, heboh di media sosial apabila adiknya, Syada memuat naik status mempersoalkan mengapa rumah yang didudukinya bersama ibu mahu dijual.

Shila Amzah kemudian tampil menafikan dirinya menghalau ibu dan adik-beradiknya selepas dikatakan mahu menjual kediaman banglo yang didiami keluarganya.

Shila berkata, dia mahu menjual rumah terbabit kerana ingin mencari kediaman yang lebih selesa.

“Rumah yang keluarga saya tinggal itu nama saya.. Jangan risau, tiada siapa halau keluarga. Saya kini pikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga, saya nak jual rumah itu supaya saya boleh beli rumah yang lebih baik untuk mereka.

Rumah itu penuh dengan elemen-elemen kehidupan lalu yang tak elok, dengan kisah silam mungkin kita tak nak ingat. Bila ibu bapa bercerai, rumah itu ada kenangan yang tak menarik.

“Rumah sekarang sangat besar, 9,000 kaki persegi yang dilengkapi tujuh bilik… kereta boleh masuk 10 biji dan ada tiga rumah kucing.

“Orang yang tinggal pula hanya lima orang. Tiada orang gaji yang boleh menguruskan rumah itu. Jadi takkanlah saya nak biarkan, rumah itu kusam je,” katanya.

Kemelut makin meruncing apabila suami Shila iaitu iaitu Ubai mendedahkan hanya isterinya lebih mengetahui ‘kesengsaraan’ yang dilaluinya sepanjang 33 tahun hidup.

Pendedahan itu dibuat Ubai menerusi aplikasi X apabila mendakwa Shila dikerah untuk bekerja seawal usia 10 tahun.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan komen Fauziah setakat ini gagal apabila dia tidak menjawab mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Baca juga: Adik reka cerita dongeng isu jual rumah, Shila Amzah ‘meletup’ dedah hal sebenar