Konflik AS-China akan beri kesan pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata pakar ekonomi

Konflik AS-China akan beri kesan pertumbuhan ekonomi Malaysia, kata pakar ekonomi

Perang perdagangan Amerika Syarikat-China boleh memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 1.3 peratus daripada yang diunjurkan untuk tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Ahli Ekonomi CIMB Group Dr Donald Hanna berkata senario itu adalah satu kemungkinan jika perang tarif terus meningkat dan menjejaskan keyakinan pasaran kewangan, terutamanya jika China menjual pegangan Perbendaharaan AS miliknya.

“Ini akan membawa kepada pengurangan perdagangan global yang akan memberi kesan kepada Malaysia sebagai ekonomi terbuka dan turut menyebabkan kenaikan kadar faedah yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya kepada pemberita di luar Siri Meja Bulat ASEAN mengenai “Perang Perdagangan dan Impaknya ke atas ASEAN” anjuran CIMB ASEAN Research Institute (CARI).

Bagaimanapun, katanya 1.3 peratus itu merupakan kemungkinan penurunan dan bukan jangkaan hasil.

AS telah mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan China bernilai US$34 bilion, dan duti ke  atas import bernilai US$16 bilion akan bermula pada 23 Ogos.

Kerajaan AS turut mengingatkan mengenai tarif sebanyak 25 peratus ke atas import China bernilai US$200 bilion.

Hanna juga berkata kemungkinan impak daripada perang perdagangan kepada pertumbuhan dalam kalangan negara Asean lain, termasuk Asean6 (-1.4 peratus), Indonesia (-1.6 peratus ) Singapura (-2.0 peratus) dan Thailand (-1.2 peratus).

Beliau mengingatkan dengan skala tindakan balas, yang lebih buruk boleh berlaku, sambil menambah tarif yang lebih tinggi bukan sahaja akan menjejaskan pertumbuhan China dan AS, tetapi juga akan mengekang pertumbuhan global jika ia menjadi perang perdagangan sepenuhnya.

Hanna berkata Asean akan terjejas terutamanya melalui kesan kewangan, sambil menambah lencongan perdagangan ke rantau ini dijangka tidak dapat mengimbangi kerugian perdagangan daripada tarif AS yang lebih tinggi.

Eksport China, selain mempunyai bahagian tambahan nilai asing yang tinggi, sebahagian kecilnya daripada ASEAN, katanya.

Menurut Hanna, impak terbesar adalah dalam sektor elektronik di Malaysia dan Singapura, produk makanan di Indonesia, Malaysia dan Thailand selain produk kayu di Indonesia dan Thailand.

“Berdasarkan magnitud perdagangan yang besar dan kepentingan kewangan di Singapura, KDNK negara itu akan terjejas daripada perang perdagangan tersebut, terutamanya dengan harga bon AS yang lebih tinggi.

“Indonesia seterusnya (tertinggi), terjejas oleh bahagian nilai tambah yang tinggi dalam eksport China, oleh defisit perdagangannya dan 42 peratus daripada pasaran bon domestik yang dipegang oleh pelabur asing,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi CARI Tan Sri Munir Majid, dalam ucapannya, berkata negara anggota ASEAN biasanya respons kepada perang perdagangan atas dasar kepentingan sesebuah negara.

Beliau berkata ia juga menjadi kepentingan negara secara bersama untuk menjadikan integrasi ekonomi ASEAN dan menempatkan rantau ini sebagai pusat pengembangan dan kemakmuran pada masa depan.

“Campur tangan pasaran berstruktur oleh AS pernah berlaku sebelum ini. Plaza Accord, yang memaksa penilaian semula ke atas mata wang yen Jepun dan mark Deutsche, menyebabkan pelaburan Jepun di Asia Tenggara meningkat dengan mendadak,” katanya.

Perang perdagangan AS-China mungkin menyebabkan penyusunan semula industri serantau tetapi aliran pelaburan tidak boleh dihalang dan perdagangan bebas perlu dikekalkan, kata Munir.

“Ini merupakan cabaran serantau bagi negara anggota Asean: untuk menjadi sebahagian daripada blok serantau ekonomi bagi menjana pertumbuhan dan mengimbangi pasaran AS bernilai US$19 trilion,” katanya.