Malaysia Dateline

Konflik China-India: Kesan kepada rantau dan dunia

1. Kini, benua Asia dan rantau Indo-Pasifik sedang menghadapi satu isu kritikal geopolitik iaitu ‘Perangkap Thucydides’ atau Thucydides Trap, seperti dinyatakan oleh Professor di Universiti terkemuka Harvard, Graham Allison.

Walaupun ramalan ini dinyatakan oleh Professor Allison lima tahun dahulu, tetapi ia semakin menjadi realiti apabila konflik kuasa besar Sino-AS semakin jelas.

2. Menurut perspektif ‘Perangkap Thucydides’, China dan AS sentiasa berwaspada di antara satu sama lain. Ini dapat dilihat daripada pelbagai isu dua hala seperti perdagangan dan hak harta intelektual dimana kedua-dua isu ini China telah diberi tekanan antarabangsa kerana melangkau World Trade Organization (WTO) dan World Intellectual Organization. Ini memberi impak dan dapat dilihat melalui tren hubungan dua hala di antara China dan AS semakin menurun.

3. Oleh itu, menurut sudut pandang geopolitik, konflik di antara China dan India mutakhir ini turut akan memberi implikasi kepada rantau Indo-Pasifik.

4. Persempadanan di antara China dan India adalah kawasan yang dikawal rapi oleh pihak keselamatan negara masing-masing. Ia meliputi sejauh 3448KM menerusi laluan Line of Control (LOC).

Oleh kerana persempadanan yang jauh serta agak mencabar daripada segi geografi, tidak mudah untuk sebarang tindakan ketenteraan di ambil di kawasan tersebut.

Malah, apabila konflik pertama meletus pada tahun 1962, kawasan tersebut amat mencabar bagi tentera-tentera China dan India untuk dimobilisasikan.

5. Pada 16 Jun 2020, konflik terbaharu di antara dua negara meletus dan telah mengakibatkan 20 tentera India cedera dimana 17 daripada mereka parah. Konflik terbaharu tersebut berlaku di Lembah Galwan di LOC, di persempadanan Kashmir dan Jammu. (Lihat gambarajah di bawah)

6. Penting juga untuk dinyatakan konteks sejarah hubungan dua hala di antara dua negara ini. Perdana Menteri India Jawalhal Nehru pada tahun 1950 menyatakan bahawa China dan India dianggap sebagai “bhai-bhai” yang membawa maksud sahabat.
Walaubagaimanapun, konflik persempadanan pada tahun 1962 meranapkan ungkapan tersebut. Malah, bekas Menteri Pertahanan India sendiri pernah menyatakan bahawa China adalah “ancaman” kepada India.

7. Konflik China-India turut dapat dikaitkan dengan Strategi Indo-Pasifik yang dilancarkan pada 31 Mei 2019 oleh AS, bersama-sama ASEAN Outlook on Indo-Pacific (AOIP), dimana kedua-dua strategi dan outlook ini menyatakan bahawa Laut China Selatan dan Lautan Hindi mempunyai potensi besar sebagai teater konflik maritim.

Melangkaui konflik maritim, konflik persempadanan China-India merungkai perspektif India untuk menafikan dominasi China. Walaubagaimanapun, jika kedua-dua negara memilih untuk “berperang”, samada China-India, rantau ini dan masyarakat global, masing-masing tidak mendapat manfaat.

8. Selain daripada itu, sarjana seperti Sergey Radchenko berpendapat bahawa konflik China-India turut berpunca daripada isu China dan Tibet. Seperti ditulis di Foreign Policy pada tahun 2014, “Tibet merupakan pencetus dimana China telah menyekat kebangkitan Tibet pada tahun 1959 dimana ribuan rakyat Tibet termasuk pemimpin mereka iaitu Dalai Lama mencari perlindungan suaka di India.

Menurut Kerajaan China, [rakyat Tibet] terus menerus menghasut untuk melakukan penentangan terhadap kerajaan China. Malah, Kerajaan China terus mempertingkatkan keberadaan tenteranya dipersempadanan sehingga mengakibatkan pada Ogos dan Oktober 1959 terjadi beberapa cetusan konflik yang mengakibatkan beberapa kematian di pihak India”.

9. Persempadanan China-India dapat dilihat melalui LOC dimana China menuntut sepanjang 32,000 batu di kawasan yang ditadbir India – negeri Arunachal Pradesh, garisan McMahon di selatan. India juga turut menolak tuntutan China di 17,000 batu di utara barat, rantau Aksai Chin yang berkait dengan Xinjiang dan Tibet.

10. Malah, India turut menyatakan bahawa China pernah melepasi LOC dan pihak tentera China telah bertapak di rantau Aksai Chin ini pada pertengahan September 2013. India juga secara rasmi telah menyatakan bahawa ratusan tentera China telah melangkaui persempadanan itu. Debasish Chowdhury, sebelum ini bersama This Week In Asia di South China Morning Post, telah menulis “12 perspektif” berkaitan konflik di antara dua negara besar ini.

11. Sarjana Neville Maxwell turut menyatakan bahawa sejak konflik 1962, dikatakan bahawa India seringkali menyatakan hasrat untuk “membalas dendam” kepada China. Malah, tidak pelik jika India telah menyertai Quad, yang terdiri daripada negara-negara seperti AS, Jepun dan Australia untuk mengekang cita-cita China sebagai kuasa besar dan dianggap sebagai “serangan ekonomi”. Belfer Centre daripada Universiti Harvard turut menyatakan bahawa tumpuan Quad adalah kepada “diplomasi perangkap hutang”.

12. Walaupun ada sesetengah ahli akademik berpendapat bahawa amalan pinjaman komersial oleh China kepada beberapa negara boleh diperbaiki, stigma terhadap China tetap berterusan.

13. Mengambil kira konflik berterusan di antara China dan India, negara-negara kecil di rantau Asia Tenggara seperti Myanmar dan Vietnam mengalu-alukan konflik itu berterusan kerana berdasarkan perkiraan strategik mereka, ia akan menghasilkan imbangan kuasa di rantau Asia Tenggara.

Dalam erti kata lain, jika konflik China-India berterusan, ia akan mengurangkan tumpuan tuntutan China di Laut China Selatan (sumber: temuduga dengan pegawai rasmi di Sekretariat ASEAN).

14. Penekanan oleh sarjana Singapura Bilahari Kausikan yang menyatakan bahawa konflik China-India akan menjadi lebih teruk adalah silap. Hal ini kerana konflik di antara China dan India telah lama berlaku dan kedua-dua negara tahu bila masa yang tepat tuntuk menyerang dan berundur sesuai dengan masanya.