Malaysia Dateline

Konflik dalaman BN Perlis buka peluang kepada PH

Konflik dalaman yang amat parah dalam kepimpinan BN Perlis tatkala ini, membuka peluang yang lebih besar bagi Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui kepimpinan negeri tersebut.

Malah gerakan turun padang saban hari yang dilaksanakan oleh kepimpinan PH Perlis membuktikan rakyat semakin yakin dengan kepimpinan PH.

Sehubungan itu, sokongan yang amat ketara adalah dengan kemasukan hampir 500 ahli baru PKR sekaligus bagi kawasan Parlimen Padang Besar.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Indera Kayangan, Gan Ay Ling ketika menerima borang kemasukan ahli baru dan penubuhan lima ranting PKR di cabang Padang Besar.

Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling menerima borang penubuhan ranting baru Kampung Paya Burma.

“Kemasukan secara mendadak dan beramai-ramai ahli baru ini membuktikan kepimpinan PKR dan PH amat disenangi oleh masyarakat setempat.

“Penubuhan lima ranting baru kali ini menjadi satu tamparan hebat kepada BN yang sering mendakwa bahawa mereka masih mendapat dokongan.

“Sedangkan majoriti dari mereka yang menubuhkan ranting baru kali ini adalah bekas ahli dan penyokong BN sebelum ini, ” jelas beliau lagi.

Adalah difahamkan majoriti ahli baru tersebut adalah dari masyarakat keturunan Siam yang berada dalam Parlimen Padang Besar.

Seramai 180 ahli baru adalah bagi ranting Padang Jelutong dan 98 lagi adalah bagi ranting Gua Musang.

Manakala 98 lagi ahli pula adalah bagi ranting baru di Paya Burma serta 72 lagi bagi ranting Kok Klang.

Sementara itu satu lagi ranting baru yang berjaya dibuka dengan keanggotaan seramai 42 ahli adalah bagi Bawah Bukit.

Daripada 15 kerusi Dun ketika ini, Perlis mempunyai tiga Adun PH yang dianggotai oleh PKR bagi Dun Sena, Indera Kayangan dan Kuala Perlis.

Manakala Adun Tambun Tulang adalah wakil rakyat Bebas serta Dun Guar Sanji dan Sanglang pula diwakili oleh Pas.

BN pula mempunyai sembilan lagi kerusi Dun yang dijangka akan turut mengalami perubahan ekoran senario politik terkini tidak lama lagi.

Dalam majlis yang sama, para pelajar turut menerima sumbangan beg sekolah menjelang sesi persekolahan yang akan dibuka minggu hadapan.