Malaysia Dateline

Konflik dalaman PKR boleh gugat PH, skandal seks tidak jejaskan keyakinan rakyat

Konflik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) disifatkan akan mempengaruhi sokongan kepada ahli dan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) namun dakwaan skandal seks dikalangan pemimpinnya tidak menjejaskan keyakinan rakyat, kata penganalisis politik Dr Mazlan Ali.

“Saya fikir konflik dalaman PKR yang sangat parah kini akan mempengaruhi sokongan ahli dan rakyat terhadap PH.

“Rakyat mungkin akan kecewa kerana mereka fikir pemimpin PH terlalu banyak bermain politik daripada memberi fokus terhadap usaha membangunkan negara ,memperbaiki  kehidupan dan kebajikan rakyat.

“Konflik dalaman PKR yang sudah begitu lama ini mungkin juga akan menjemukan rakyat serta ia boleh dijadikan modal oleh pembangkang untuk memberitahu kepada rakyat betapa pemimpin PH (PKR) tidak serius membantu dan memperjuangkan hak rakyat, tetapi lebih mementingkan diri dan kelompok sendiri dalam pertarungan merebut kuasa,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dr Mazlan Ali

Beliau diminta mengulas mengenai konflik dalaman yang berlaku dalam kepimpinan utama PKR apabila Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi keterangan kepada polis atas dakwaan mencabul bekas pegawai penyelidiknya Yusoff Rawther.

Sebelum itu Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali juga turut dikaitkan dakwaan mengadakan hubungan intim sejenis dengan tersebarnya satu video yang diakui oleh pelakunya Haziq Abdul Aziz pada Jun lepas.

Terkini kekecohan yang berlaku dalam Kongress Parti Keadilan Nasional di Melaka yang jelas wujud dua kem yang menyokong kepimpinan Anwar dan Azmin.

Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Dasar Awam FTIR, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), itu berpandangan, dakwaan video seks ke atas Anwar dan Azmin itu disifatkan sebagai tidak memberi kesan kepada rakyat.

“Datuk Seri Anwar adalah seorang ahli politik yang sering berdepan dengan  cabaran besar yang menyebabkan beliau pernah dipenjarakan selama 11 tahun.

“Setelah beliau menghadapi dua tuduhan liwat dan beberapa tuduhan lain, kini berdepan lagi dengan tuduhan seorang individu yang kononnya beliau  melakukan serangan dengan tujuan mencabul, menjadikan tuduhan kali ini ‘mangli’ bagi rakyat.

“Cara pengendalian kes terbaru Datuk Seri Anwar ini disebalik satu lagi kes video yang dihadapi oleh Datuk Seri Azmin menyebabkan rakyat melihat seola-olah ia sepertimana kes terdahulu yang pernah dihadapi Datuk Seri Anwar sebagai satu konspirasi untuk menghalang Anwar sebagai perdana menteri ke-8.

“Persoalan tentang tarikh Datuk Seri Anwar mengambilalih kepimpinan sebagai PM8 juga semakin menjadi tanda tanya dan misteri di sebalik kes terbarunya itu.

“Malahan dengan terjadinya perpecahan besar yang berlaku dalam PKR ia berisiko untuk parti itu akan mengalami perpecahan besar seperti yang pernah dialami Umno pada 1987 (Mahathir-Tengku Razaleigh) yang mewujudkan parti S46 dan Pas pada 2015 yang mewujudkan Parti Amanah Negara,” jelasnya.

Justeru kata Dr Mazlan lagi, Majlis Presiden PH perlu menjalankan fungsinya sebagai badan tertinggi komponen parti dalam gabungan itu sebagaimana yang ditetapkan sebelum PRU-14 lalu.

“Antaranya adalah ketegasan Majlis Presiden mempastikan konsensus yang dicapai sebelumnya bahawa Datuk Seri Anwa perlu menggantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas suatu tempoh yang telah ditetapkan.

“Majlis Presiden juga perlu tegas agar memastikan konsensus ini dipatuhi dan sebarang elemen yang mengingkari konsensus ini perlu dibanteras dengan kuasa dan budibicara yang ada pada Majlis Presiden,” ujarnya.

Ditanya terdapat pandangan untuk memilih seorang pemimpin perlu bersih dari segi skandal seks dan rasuah?

Dr Mazlan berkata,  ia bukan satu halangan bagi seorang pemimpin yang pernah didakwa kerana skandal seks selagi rakyat masih meletakkan keyakinan kepada kepimpinannya.

“Ini bermakna kes liwat yang beliau hadapi dahulu tidak pernah melunturkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan beliau dan pembangkang yang pernah dipimpinnya dahulu, mampu memberi cabaran besar kepada BN pada PRU 2008 dan 2013 yang mana kerajaan BN kehilangan majoriti 2/3 di dewan rakyat.

“Dalam PRU-14 lepas, gabungan kepimpinan Anwar-Mahathir dalam PH berjaya meruntuhkan kuasa kerajaan BN yg berusia 61 tahun.

“Maknanya rakyat tidak percaya terhadap kes liwat yang dihadapi Datuk Seri Anwar termasuk tuduhan terbaru yang melibatkan bekas pembantu penyelidiknya

“Saya fikir dalam politik tiada masalah bagi seorang pemimpin yang terpalit  dengan dakwaan skandal seks selagi beliau berjaya menyakinkan rakyat bahawa tuduhan itu adalah bersifat konspirasi dan rakyat percaya,” terangnya.