Malaysia Dateline

Konflik politik di Perak taktik bermusim dibangkitkan menjelang sidang Dun

PKR Perak menyifatkan khabar angin dan tular kononnya berlaku konflik politik di Perak adalah taktik bermusim, yang dilakukan pembangkang sebelum menjelangnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Naib Pengerusinya, Tan Kar Hing berkata ini kerana tindakan yang sama itu juga telah dilakukan pembangkang sebelum persidangan DUN sebelum ini.

“… ini adalah spekulasi dan penipuan, segala yang dijalankan oleh Ketua Pembangkang (Perak) Datuk Saarani Mohamed adalah bermusim setiap kali menjelangnya sidang DUN.

“Sidang DUN pertama, sidang DUN  kedua dan sidang DUN kali ini yang bakal berlangsung 16 April, sama juga taktik katanya (kerajaan Perak) tidak stabil, tukar ni la tukar tu la,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Tan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri mengulas tular mengenai khabar angin menyatakan kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan tumbang dan memungkinkan pilihan raya negeri menghujani aplikasi WhatsApp.

Baru-baru ini, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional mendakwa terdapat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang mahu menggulingkan menteri besar.

Dalam pada itu, Tan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai ????? berkata pentadbiran negeri Perak di bawah pimpinan PH adalah stabil dan PKR Perak menyokong sepenuhnya menteri besar.

“Keadilan negeri Perak adalah kukuh bersama dengan rakan-rakan di dalam PH, dan menyokong sepenuhnya pimpinan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) untuk terus mengetuai pimpinan PH di perak,” katanya.

Beliau berkata kepimpinan PKR negeri tidak mempunyai masalah sekiranya UMNO dan PAS bersatu untuk kerjasama politik.

“Jangan lupa PAS dan UMNO daripada segi hakikatnya adalah pesaing terus. Jika betul mahu bersatu, bagaimana hendak selesaikan isu kerusi mereka yang mereka bertanding bagi membuat persediaan PRU (pilihan raya umum) akan datang?,” katanya.