Malaysia Dateline

Konglomerat perlu dilibatkan dalam langkah drastik untuk sekuriti makanan negara

Lewat ini, kita sering membaca kemelut sumber makanan yang semakin meruncing. Ia sama ada berpunca daripada faktor luar seperti perang Russia dan Ukraine, pemberhentian import negara pengeluar seperti India dan kesan pemanasan global. Oleh itu, beberapa langkah drastik yang dicadangkan untuk sekuriti makanan negara.

Hanya yang jarang dikupas secara jujur di warta perdana ialah faktor dalaman kita sendiri. Ia ada dikupas, tetapi wacana itu dimainkan oleh warga rakyat marhain. Beralun di dalam media sosial. Nampak seakan rakyat lebih mengerti getir yang sedang berlaku dan gerhana yang mendatang.

Memanglah. Sebab rakyat terbanyak yang merasai kesan kenaikan harga barang ini. Ramai dari mereka adalah peniaga kecil. Mereka bukan bergaji duta. Kali ini kita tidak mahu bincang lagi apa punca. Rakyat mahukan penyelesaian segera dalam bentuk tindakan yang dapat dirasai.

Sudah tiba kerajaan perlu menegaskan polisi supaya konglomerat yang punya tanah terbesar turut ambil tanggungjawab ini.

Syarikat GLC Nasional dan negeri perlu diberi tugasan demi negara. Syarikat-syarikat seperti Guthrie, Boustead, Berjaya iOi, Sime Darby, dan negeri seperti TDM Berhad perlu memperuntukkan 10% dari tanah sawit mereka untuk pengeluaran makanan asas. Mereka ini yang punya modal besar, teknologi, jentera berat, kepakaran, dan tanah subur strategik.

Polisi ini boleh dibentuk supaya mereka tidak menanam sawit sahaja. Ratusan ribu ekar dimiliki dan syaratkan 10% untuk pengeluaran daging. Satu ekor lembu boleh diternak lepas bebas dalam kawasan satu ekar. Jika satu syarikat mempunyai keluasan 300,000 ekar sawit, 10% akan memberi jumlah lembu sebanyak 30,000 ekor.

Konglomerat perlu dilibatkan dalam langkah drastik untuk sekuriti makanan negara
GLC perlu peruntukan 10 peratus dari tanah mereka untuk pengeluaran makanan asas

Itu baru sahaja satu syarikat. Ini tidak memerlukan pun hubaya kemelut membina kilang makanan, menanam rumput napier dan memproses dedak. Walaupun syarikat sawit ini punya stok isirong yang banyak untuk diproses sebagai dedak makanan, tetapi penat sudah ingin berdebat. Anda lebih berminat untuk jual ke luar. Ikut sukalah..

Polisi kedua ialah pengenaan cukai input baja kepada pemilik permit import. Peniaga-peniaga kertas (AP) yang kaya raya dengan pemilikan permit ini perlu dikenakan cukai khas yang mana ia akan menjadi dana subsidi kepada pekebun kecil bagi tujuan membeli input baja. Yalah, untuk hapuskan permit import tidak boleh. Ia taboo dan menjejaskan status quo Ketuanan Melayu. Maka kerajaan boleh kenakan cukai khas kepada pemilik permit import ini supaya hasil tersebut boleh diguna untuk bantu petani miskin bagi tujuan menampung subsidi input baja. Harga baja begitu naik menggila sekarang ini.

Ketika zaman PH memerintah, cukai eksais minuman gula bergas pernah dikenakan kepada pengilang. Jadi apa salahnya jika kali ini demi rakyat, cukailah cukong-cukong kaya raya pemilik permit import ini. Janganlah dicadang GST. Kasihan rakyat yang hanya dapat sepiring kek kemudian dalam pada itu dicukai lagi.

Polisi ketiga ialah penstrukturan semula tender pembekalan makanan melalui Program Rancangan Makanan Tambahan di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Kerajaan kenakan syarat wajib penyediaan input makanan percuma ini diberi kuasa kepada PIBG dan sekolah supaya sumber asas pembelian makanan ialah wajib melibatkan peranan organisasi komuniti setempat untuk membekal.

Organisasi komuniti didaftarkan dalam jawatankuasa PIBG supaya mereka yang membekalkan sumber mentah makanan seperti ayam kampung, ikan keli, santan kelapa, sayur berdaun, sayur umbisi seperti lobak dan ubi, beras dan mee. Rakyat setempat boleh buat sebenarnya jika mekanisme itu hidup dan bergerak.

Organisasi komuniti ialah seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Kelab Rukun Tangga (KRT), Persatuan Belia (MAYC). Percayalah jika penstrukturan ini dapat dibuat, maka hasrat menghidupkan program pertanian bandar akan menjadi rancak. Ramai penduduk setempat yang ada tanah terbiar akan berusaha untuk memajukan kerana pasaran terdekat mereka sudah tersedia.

PIBG dan Sekolah boleh mainkan peranan menentukan menu dan memilih pengusaha kantin yang akan memasak input yang dibekalkan oleh komuniti tersebut. Kerajaan perlu faham, rakyat sihat adalah aset negara. Rakyat yang sihat dan mendapat nutrisi yang cukup adalah projek pembangunan juga. Bukan buat bangunan dan jalan raya sahaja. Ekonomi itu kek. Maka, makanlah kek sama-sama bukankah itu lebih baik.

Cukuplah tiga langkah ini dahulu sebagai cadangan. Jika kerajaan PH diberi mandat dalam PRU akan datang, inilah desakan kami dari Pemuda PH akan lakukan. Membujur lalu melintang patah akan diperjuangkan juga hingga berjaya.
Namun jika Kerajaan Keluarga Malaysia ingin lakukan dahulu pun molek juga. Kertas kerja? Cukuplah bab ‘townhall’, wacana dan kertas kerja. Tutup bab itu.

—–

Penulis adalah pemain industri pertanian yang berjaya di Terengganu.

Baca juga: 5 sebab kenapa anda memilih untuk hidup bujang dan tidak berkahwin

Baca juga: Menteri Agama perlu segera ambil tindakan, tambah pegawai hab halal di Jakim