Malaysia Dateline

Kongres anti jawi: Dong Zong khianat pada negara, kata Agra

Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) menentang keras hasrat Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk melaksanakan ‘Kongres Anti-Jawi’ 28 Disember ini.

Presidennya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, berkata, himpunan untuk menunjukkan sikap penentangan terhadap isu Khat yang telah diputuskan kerajaan itu juga dilabel sebagai satu perbuatan khianat ke atas negara.

“Dari 3 muka surat tersebut, AGRA sepakat bahawa apa yang ingin diajarkan sebenarnya tidak cukup! Malah hakikatnya perlu ditambah lagi. Jika ingin mengajar tentang Khat, mengapa tiada abjad penuh dari ‘Alif’ sehingga ‘Ya’?

“Namun apa yang AGRA nampak, dari apa yang ingin dididik semai dan disampaikan melalui silibus KPM, sebenarnya mempunyai nilai Patriotisme dan Nasionalisme,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, AGRA turut menyindir dengan mencadangkan agar satu program pertukaran pemastautin dilakukan antara masyarakat Uyghur dan pendokong fahaman Dong Zong yang tiada semangat Nasionalisme kepada Malaysia atas segenap tindak-tanduk mereka.

“Mungkin di Xinjiang lebih mudah Dong Zong mampu menjalankan agenda mereka sewenangnya ditambah jika kiblat Dong Zong adalah kepada China mahupun Taiwan

“AGRA ingin tekankan dan menasihati Dong Zong agar jangan ‘bermain api’ dengan sikap ANTI-NASIONAL mereka kerana sepertimana nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar menghentikan niat mereka untuk berhimpun dan menolak jawi,” ujarnya.

Tambahnya, penentangan Dong Zong bercanggah dengan Akta 32: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 pada Artikel 9 yang secara jelas menyatakan ‘Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu,yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasakebangsaan.

Maka jelasnya, penentangan tersebut sekaligus bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang perlu dibacakan bersama Akta 32, Perkara 152 (1) iaitu Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen.

Malah, apabila secara terangan masyarakat bukan Melayu tidak pernah dihalang menggunakan, mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain, beliau mempersoalkan mengapa secara bersungguh Dong Zong ingin menolak.

“Maka jelas di sini mereka adalah pengkhianat negara selama mana mereka menentang sesuatu yang cukup harmoni dan patriotik untuk disemai dan diajarkan sebagai jati kebudayaan nasional.

“AGRA juga pernah berjanji dalam kenyataan kepada media pada 6 Ogos bahawa tidak akan teragak untuk tambahkan tekanan sekirannya Dong Zong dan mana-mana pertubuhan yang sealiran, terus mempertikai dan membantah pengenalan tulisan Jawi,” ujarnya.