Malaysia Dateline

Kongres bantah Jawi bakal dihadiri lebih 100 pertubuhan Cina ‘tutup’ jalan utama

Mulai jam 11 pagi, esok , beberapa jalan utama di Kajang ditutup sempena kongres bantahan tulisan Jawi oleh Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang memaklumkan penutupan jalan utama itu sehingga 5 petang.

“Antara jalan yang ditutup adalah di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Lumpur-Seremban, persimpangan lampu isyarat Jalan Changkat, persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Indah, Jalan Jati dan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) ke Jalan Bukit.

“Pada peringkat pertama, persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Indah dan Jalan Jati ke Jalan Bukit akan ditutup dan dipantau anggota trafik. Pergerakan kenderaan adalah seperti biasa.

“Peringkat kedua pula membabitkan penutupan persimpangan lampu isyarat Jalan Kuala Lumpur-Seremban dan persimpangan lampu isyarat Jalan Changkat ke Jalan Bukit yang dibuat secara berperingkat mengikut keadaan lalu lintas di lokasi penganjuran,” dipetik dari kenyataan.

Menurut kenyataan itu, orang ramai diminta mematuhi arahan pegawai kawalan lalu lintas yang bertugas ketika dan sebelum penutupan jalan dilakukan.

“Pengguna jalan raya diminta mengawal kelajuan dan kenderaan masing-masing supaya tidak berlaku kemalangan dan perkara lain yang tidak diingini.

“Elakkan mengguna laluan yang akan ditutup dan disarankan menggunakan laluan alternatif lain bagi urusan harian. Kerjasama daripada orang ramai diperlukan sepanjang penutupan jalan ini.

“Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Kajang di talian 03 89114242 untuk sebarang pertanyaan berhubung penutupan jalan terbabit,” katanya.

Semalam, Dong Zong dilapor mengulangi pendirian mahu meneruskan persidangan menggantikan perkataan kongres dengan lebih 100 pertubuhan Cina di seluruh negara menyatakan persetujuan mereka untuk hadir.

Kerajaan sebelum ini mengingatkan bahawa tindakan Dong Zong bagi membantah pengenalan pembelajaran jawi di sekolah vernakular itu boleh mencetuskan kekacauan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan kebimbangan tindakan pertubuhan tersebut akan menyebabkan pihak tertentu bertindak balas.