Malaysia Dateline

Kongres DAP di tiga lokasi serentak 20 Jun ini

DAP telah memutuskan bahawa Kongres Kebangsaan parti itu akan diadakan pada 20 Jun ini.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dicapai dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti menerusi mesyuarat semalam.

“Selaras dengan kehendak Perlembagaan parti, notis rasmi berkenaan kongres tersebut akan dihantar kepada semua cawangan parti 10 minggu sebelum tarikh kongres.

“Segala proses penamaan calon untuk pemilihan ke Jawatankuasa Tertinggi Pusat akan diadakan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memberitahu Kongres Kebangsaan DAP tahun ini bakal berlangsung serentak di tiga lokasi iaitu di Shah Alam, Kota Kinabalu dan Kuching.

“Ini bertujuan untuk memudahkan perwakilan dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri kongres di negeri masing-masing.

“Ibu pejabat DAP juga akan melantik sebuah syarikat audit bebas untuk mengendalikan proses pemilihan pada hari kongres tersebut,” ujarnya lagi.