Malaysia Dateline

Kongres Maruah Melayu perlu di landasan akademik, tidak melampaui batas

Penganjur Kongres Maruah Melayu (KMM) yang akan diadakan esok perlu secara tegas meletakkan fokus perbincangan berjalan atas landasan akademik, dalam ruang yang tidak melampaui batas, objektif dan matang supaya pengisian tidak menjurus kepada perasaan kekitaan yang melampau.

Mengikuti perkembangan tentang KMM, Ketua Pemuda AMANAH Perak Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berpendapat tema Melayu akan menjadi kata kunci penting dalam kongres ini, tetapi janganlah kongres ini terpesong daripada matlamat asal.

“Sehingga terbentuk satu pemikiran ekstrem seterusnya melahirkan golongan ekstremis bangsa dan ekstremis agama seperti apa yang pernah dititahkan oleh Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Istiadat Konvokesyen ke-48 Politeknik Ungku Omar (PUO) pada Ogos yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Bahkan katanya, walaupun penggunaan perkataan ‘maruah’ itu agak tidak begitu cocok dengan ruas akademik dan dilihat ‘rebellious’, namun beliau melihat pengisian yang bakal dihidangkan kepada hadirin adalah sesuatu yang lebih penting dalam kongres itu nanti.

Kongres yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam dianjurkan empat buah universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasnul yang juga Exco Penerangan Kerajaan Negeri Perak turut memanjangkan nasihat kepada pihak penganjur agar fabrik perpaduan yang wujud dalam negara jangan dirobek atas pentas KMM ini.

Ini kerana, katanya, ia berpotensi untuk terbentuk pula selepas ini “Kongres Maruah Cina”, “Kongres Maruah India”, “Kongres Maruah Sarawak” dan lain-lain kongres seumpamanya dan ini adalah perkembangan yang tidak sihat kepada negara dalam usaha kita membentuk sebuah negara bangsa.

“Walau bagaimanapun, atas keyakinan saya kepada ruang kebebasan bersuara yang dijamin perlembagaan, kebijaksanaan universiti terlibat sebagai penganjur kongres, kematangan rakyat Malaysia yang hadir, kesediaan kerajaan menjadi pendengar yang baik, KMM ini biarlah menjadi sebuah platform yang benar-benar membawa imej Malaysia Baharu dalam meraikan perbezaan pandangan serta meraikan kepelbagaian,” tegas beliau.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan amanatnya dalam kongres ini nanti, Hasnul berharap Tun dapat menyentuh permasalahan yang jelas (real) dalam usaha membela maruah Melayu.

“Seperti penglibatan pegawai dan pemimpin Melayu dalam gejala rasuah, penglibatan anak muda melayu dalam masalah penagihan dadah, kadar pengangguran di kalangan anak Melayu, kurangnya minat anak Melayu dalam bidang STEM, kadar penceraian di kalangan pasangan Melayu yang membimbangkan, masalah pemakanan kanak-kanak Melayu sehingga menjejaskan tumbesaran (terbantut) seperti dilaporkan oleh UN dan lain-lain isu melibatkan orang Melayu yang perlu diberi perhatian segera.

“Saya mendoakan kongres ini berjalan lancar dan berlangsung dengan penuh tertib. Saya juga akan menunggu dengan penuh sabar resolusi yang akan dirumuskan hasil daripada kongres ini nanti. Sebagai pemimpin di pihak kerajaan, sudah pastinya setiap cadangan dan pandangan yang mempunyai merit dan berasas, akan diambil perhatian dalam usaha kita membina Malaysia untuk kemakmuran bersama,” ujarnya.

Ketua Eksekutif Sekretariat KMM, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling menegaskan kongres ini tidak akan menjadi pentas kepada mana-mana pemimpin parti politik untuk berucap atau menyampaikan amanat mewakili parti masing-masing.

Kehadiran mereka hanya sebagai peserta perhimpunan yang akan turut sama mendengar hasil dapatan penyelidik empat universiti awam (UA) berdasarkan perbincangan dalam lima teras.

Tun Dr Mahathir Mohamad, dijemput hadir untuk menyampaikan ucapan selaku Perdana Menteri, yang kemudiannya akan menerima resolusi membabitkan teras agama, kebudayaan, ekonomi, politik dan pendidikan daripada penganjur.

Umno akan menghantar wakil mereka diketuai Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, manakala Pas sudah mengesahkan kehadiran Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke kongres berkenaan.