Kongres Nasional PKR di IDCC 16-18 November

Kongres Nasional PKR di IDCC 16-18 November

Kongres Nasional PKR 2018 akan diadakan seperti dijadual pada 16 hingga 18 Nov ini di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata 17 dan 18 Nov dijadual untuk kongres peringkat pusat manakala 16 Nov akan diadakan kongres bagi Sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

“Setakat ini tiada arahan lain. Kita dah keluarkan notis sebulan lepas, makluman sudah dibuat dan seterusnya saya akan bertemu Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk bincang beberapa perkara berkaitan usul kerana saya sebahagian daripada jawatankuasa usul.

“Kita akan menjemput 10 wakil daripada setiap cabang dan biasanya 1,000 hingga 1,500 orang akan hadir, tetapi tahun ini kemeriahannya mungkin lebih sedikit kerana ini tahun pertama kongres ini diadakan selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan,” katanya kepada Bernama ketika hadir di Fiesta Deepavali 2018 di Brickfields, di sini pada Isnin.

Fahmi yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai menjelaskan setakat ini, perbincangan dengan pembahas mengenai usul bakal dibawa sedang diadakan dan secara amnya usul akan merangkumi perihal ekonomi, sosial dan reformasi politik.

COMMENTS

Wordpress (0)