Malaysia Dateline

Kongres tolak Jawi: Prof Tajuddin anggap kakitangan awam sebagai orang gaji

Ahli akademik universiti swasta, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi menyifatkan penjawat awam sebagai orang gaji yang perlu meminta izin daripada rakyat sebagai tuan rumah.

Pengajar seni bina di University College Sedaya International (UCSI) itu berkata, wakil rakyat dan kakitangan awam wajar berbincang bersama NGO yang terlibat dalam pengenalan tulisan Jawi.

“Kita kalau ada rumah, mesti ada pemilik, ada duit sikit kita ambil orang gaji dan kalau kaya kita ambil penjaga rumah.

“Rumah itu macam negara, pemilik adalah rakyat, orang gaji adalah kakitangan awam dan penjaga rumah adalah wakil rakyat.

“Mana boleh mereka nak ubah suai rumah saja-saja tanpa tanya pemilik,” katanya yang disambut gelak ketawa dan tepukan gemuruh hadirin di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya semalam.

Dalam kongres anjuran Pasukan Tindakan Seni Khat atau Seni Khat Action Team (Sekat) itu, Tajuddin turut membandingkan dengan Kongres Maruah Melayu di Shah Alam yang dihadiri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 6 Oktober lalu.

“Terdahulu ada Kongres Maruah Melayu, mereka minta peruntukkan macam-macam, jawatan itu ini.

“Kongres ini cuma minta satu benda saja, bincanglah dan bermesyuarat bagi cari jalan penyelesaian,” katanya lagi.

Tajuddin yang menyertai DAP pada 4 September 2012 itu dikenali berceramah dan menulis hal yang tidak kurang mengundang kontroversi terhadap Melayu dan Islam.

Antaranya, di hadapan penganut Kristian dalam forum “Naratif Malaysia Baharu” di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara, Selangor, pada 14 September lalu.

Pada 2018, Tajuddin pernah menyarankan agar 20 peratus Lembaga Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari bukan Islam. Malah, katanya, perlu ada wakil dari golongan lesbian, biseksual, gay dan transgender (LGBT) serta kumpulan Syiah.

Selain Tajuddin, panelis lain yang turut berceramah dalam kongres itu adalah Setiausaha Sekat, Arun Dorasamy; peguam Siti Kasim; Setiausaha Persatuan Warisan Terabai Kenyalang Sarawak Bobby Williams serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT R Thayalan.