Kongsi kereta dan kurang makan di luar antara cadangan NUBE atasi ekonomi mencabar

Kongsi kereta dan kurang makan di luar antara cadangan NUBE atasi ekonomi mencabar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) telah mengemukakan beberapa langkah untuk anggotanya mengoptimumkan perbelanjaan bagi menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata anggota NUBE boleh membuat pembelian secara pukal melalui koperasi mereka, mula berkongsi kereta, menangguhkan pembelian barangan tidak penting, kurang makan di luar, meminimumkan percutian, dan mengurangkan penggunaan utiliti.

Beliau berkata anggota NUBE perlu menghadapi realiti dan berusaha untuk hidup dalam kemampuan mereka.

“Kesatuan ini menggalakkan anggotanya supaya berjimat dan melakukan yang terbaik untuk memenuhi keperluan keluarga mereka,” katanya.

Solomon berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negara akan menghadapi masa yang mencabar tahun ini disebabkan oleh keadaan ekonomi.

Solmon berkata anggota tidak harus hanya mengadu dan mendapatkan simpati, sebaliknya menjadi kuat dalam masa yang sukar ini dan mencari penyelesaian kepada masalah ekonomi mereka.

Semasa meminta anggotanya supaya mencadangkan cara dan kaedah untuk mengatasi cabaran berkenaan, beliau berkata, NUBE sedang mempertimbangkan hadiah wang tunai untuk idea-idea terbaik yang disumbang oleh anggota kepada surat beritanya.

TAGS