Malaysia Dateline

Kongsi maklumat penerima bantuan JKM kepada wakil rakyat

Kerajaan negeri Johor hari ini diminta untuk membentangkan jumlah mereka yang telah menerima bantuan jika mereka ingin menguatkuasakan larangan sumbangan daripada NGO.

Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim berkata, masih ramai lagi individu yang terkesan memohon bantuan secara terus di kawasannya.

Beliau memohon agar semua maklumat berkenaan jumlah penerima bantuan setakat ini yang dibantu oleh kerajaan jika hal tersebut hanya mahu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kita mahu tahu jumlahnya sahaja kerana di Dun saya masih ramai di kalangan yang terkesan ini mengadu kepada saya untuk mencari bantuan.

“Bila ditanya kepada mereka, ternyata usaha mereka untuk mendapatkan bantuan dari kerajaan masih gagal diperolehi hingga hari ini.

“Jadi, tindakan kerajaan menyekat NGO, badan-badan lain dan individu yang ingin membantu perlu dipertimbangkan semula bagi keberlangsungan yang baik dari sisi menyampaikan bantuan kepada masyarakat umum,” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Ahli Jawatankuasa AMANAH Johor itu berkata, dalam keadaan seperti hari ini pelbagai pihak perlu berganding bahu bukan menyekat antara satu sama lain.

Cheo Yee How

Dalam masa sama, Adun Perling, Cheo Yee How juga ketika dihubungi menyatakan rasa tidak puas hatinya berkenaan tindakan kerajaan yang menyekat pembabitan selain badan kerajaan bagi membantu golongan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Beliau turut mempersoalkan tahap kesiapsiagaan kerajaan dalam menggerakkan jentera untuk memberikan bantuan kepada rakyat di negeri ini.

“Kerajaan perlu menyatakan jumlah jentera yang akan digerakkan sekiranya mereka ingin mengambil alih semua perkara daripada segi bantuan.

“Kita akui masih terdapat ramai yang belum menerima bantuan dan bila ditanya mereka menjawab segala permohonan telah pun dibuat namun bantuan masih tidak sampai kepada mereka.

“Ini menimbulkan kecurigaan kita terhadap kemampuan kerajaan untuk menyalurkan bantuan.

“Bagaimana golongan terjejas mahu meneruskan hidup di rumah sekiranya bantuan kepada mereka lambat diambil tindakan oleh kerajaan?” soalnya.

Sehubungan itu, Yee How menyeru agar kerajaan mempertimbangkan semula larangan untuk NGO untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada penerima sekali gus meringankan beban yang ditanggung oleh kerajaan.