Kongsi tarikh nikah, wanita rela lamar jiran jadi madu demi menjaga maruah janda

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, demi menjaga maruah wanita bergelar janda, seorang isteri sanggup melamar jirannya sendiri untuk dijadikan madu.

Malahan, isteri tersebut juga rela membenarkan suaminya untuk menikahi madunya itu di hari sambutan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-10.

Bukan cerita rekaan, kejadian tersebut berlaku kepada wanita dikenali sebagai Chinta yang menetap di Bandar Tenggara, Kulai, Johor.

Walaupun mahligai yang dibina selama 10 tahun itu belum dihiasi dengan kehadiran anak, namun ia bukanlah punca mengapa Chinta ingin bermadu.

Sebaliknya, Chinta benar-benar ikhlas ingin bermadu dengan jirannya yang bergelar janda semata-mata untuk ‘memuliakan’ dan menjaga maruah wanita itu.

Timbul rasa simpati, Chinta berkata bahawa jirannya yang berstatus ibu tunggal itu sering menjadi mangsa fitnah dan juga gangguan lelaki sejak menjadi janda.

Oleh kerana itulah wanita yang berusia 37 tahun itu membuat keputusan untuk melamar jirannya menjadi isteri kedua tanpa pengetahuan sesiapa.

Memetik laporan Sinar Harian, Chinta juga meluahkan rasa syukur apabila suaminya memberikan kerjasama dan bersetuju untuk berpoligami.

@chintaarjuna

Pandang dengan penuh hikmah… letak Allah yg pertama dihati.. semua krn Allah..jgn bergantung harap pd manusia kita akn mati.. dia bernikah lagi bukan krn tiada zuriat, bukan juga krn menghalalkan yg sudah ada.. jauh sekali utk curang atau dikhianati… ya utk capai tahap ni bukan mudah setelah berbagai ujian demi ujian kami tempuh.. bukan tiada airmata yg tumpah tapi kami jadikan ia kekuatan utk bersama… Allah ada.. Allah ada.. suami bnyak ajar sy utk sy jd diri sy yg skrg.. sy syg mereka berdua krn Allah… moga Allah pndang kami, jaga hati kami semua… perjalanan kami masih pnjang… baru bermula masih bnyak utk ditempuhi, doakan kami bahagia smpai syurga… #fyyypppppppppppppp #foryou #fyp #fypシ゚viral #sampaisyurga❤️ #poligami #poligamiharmoni #cintasampaimati💖

♬ bunyi asal – ꧁ R.kay_Official ꧂ – ꧁ 𝑹.𝒌𝒂𝒚_𝑶𝒇𝒇𝒊𝒄𝒊𝒂𝒍 ꧂

“Kami tinggal di kawasan perumahan sama. Semenjak dia bergelar janda, bermacam-macam fitnah dan tohmahan dilemparkan kepadanya.

“Jadi untuk menjaga maruah, saya sendiri bertanya soalan kepadanya ‘awak nak tak berkahwin dengan suami saya?’.

“Alhamdulillah, ALLAH permudahkan niat saya untuk membantu dia (madu). Suami pun bersetuju untuk meneruskan kehidupan berpoligami,” katanya.

Memiliki hati yang mulia, cincin pertunangan buat wanita yang berstatus janda anak dua itu difahamkan telah disarungkan sendiri oleh Chinta pada 19 Mei lalu.

Ketika itu, mereka mengadakan perbincangan untuk berkongsi tarikh perkahwinan sama iaitu pada 28 Jun yang mana ia juga adalah hari lahir Arjuna (suami Chinta).

Chinta juga memaklumkan bahawa dia sentiasa bersedia dan reda sekiranya keputusan itu boleh menjadi punca keretakan rumah tangganya suatu hari nanti.

“Walaupun ada yang kata perbuatan ini gila kerana sanggup berkongsi kasih tetapi tidak bagi saya kerana ALLAH yang menggerakkan perasaan itu.

“Saya yakin itu merupakan satu keputusan tepat.” Ulas Chinta yang turut berkongsi kisahnya di laman TikTok.

Baca juga: Suami jadi bibik di rumah, isteri pula malas nak tolong, siap suruh kahwin lain lagi