Malaysia Dateline

Konsensus perlu dicapai, PH harus segera diperkukuhkan

Konsensus yang dipersetujui oleh semua komponen dengan berlapang dada dan ceria adalah amat diharapkan oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) bagi merealisasikan kemenangan PH menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang. 

Walau bagaimanapun PH tidak harus berpecah. Malahan dua perkara yang telah sedia maklum oleh penyokong-penyokong PH bahawa PKR menolak Muda (dan Pejuang), manakala AMANAH dan DAP ‘setuju’ menerima kedua-dua parti tersebut. 

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Manifesto AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, fokus mengukuhkan PH perlu disegerakan. 

“Semasa kempen pemilihan kerusi timbalan presiden PKR yang menyaksikan Rafizi Ramli menentang Saifuddin Nasution Ismail secara terbuka, konsep Khemah Besar ditolak oleh Rafizi. 

“Harus diketahui bahawa konsep Khemah Besar merangkumi semua komponen parti pembangkang termasuk Muda, Pejuang dan Warisan dan kemenangan Rafizi seolah-olah menghantar satu referendum kepada PH penolakan konsep Khemah Besar. 

“Untuk melawan Umno-BN dan PN, AMANAH khususnya yang disokong DAP dengan tegas dan konsisten mahukan konsep Khemah Besar serta pertembungan ‘strategi’ ini telah berlaku sejurus selepas PH ditumbangkan melalui Langkah Sheraton sebelum ini,” ujar beliau ketika dihubungi. 

Tambahnya parti masing-masing tetap dan kekal dengan pandangan tersendiri.

Oleh kerana itu satu konsensus harus dicapai sebagai penyelesaian meskipun ia tidak begitu mudah seperti di atas kertas.