Malaysia Dateline

Konsep Kampung Kapitan diperluaskan di Sarawak, kata Zuraida

Konsep Kampung baharu seperti di Semenanjung Malaysia atau dikenali Kampung Kapitan akan diperluaskan di Sarawak pada tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, enam kawasan kawasan telah dikenal pasti sebagai penempatan semula di pinggir bandar di negeri ini untuk dibangunkan menggunakan konsep kampung baharu seperti di Semenanjung Malaysia.

Beliau memberitahu, kampung kapitan di Semenanjung Malaysia berperanan menjaga pembangunan kaum Cina namun untuk di Sarawak dan Sabah ia melibatkan kaum lain seperti Bidayuh, Iban dan lain-lain.

“Untuk Sabah dan Sarawak tidak ada unit ini. Maka buat pertama kali pada 2020, KPKT mahu memperluaskannya ke negeri ini dan bagi fasa pertama, enam kawasan telah dikenal pasti.

“Kini pihak kementerian masih dalam proses membuat data dan kita akan umumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2020 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pekarangan Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Stampin di Kuching hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi PKR Sarawak yang juga Menteri Kerja Raya, Baru Bian, Ketua PKR Cabang Stampin, See Chee How selaku tuan rumah majlis serta pemimpin-pemimpin PKR Sarawak lain.

Zuraida yang juga Naib Presiden PKR menambah, kementeriannya telah merancang untuk membangunkan lebih banyak kawasan seumpama itu pada masa akan datang.

“Di bawah konsep ‘Kampung Kapitan’ ini, kawasan penempatan berkenaan akan mendapat peruntukan daripada KPKT untuk membangunkan komuniti dalam aspek infrastruktur, ekonomi, pendidikan serta keselamatan.

“Namun, pemimpin di peringkat ‘Kampung Kapitan’ itu tidak akan mengambil alih peranan atau tanggungjawap kapitan sedia ada yang dilantik kerajaan negeri.

“Keadaan ini sama dengan Kampung Kapitan di Semenanjung Malaysia tetapi ia tidak akan mengambil alih peranan dan tanggungjawab kapitan sedia ada,” tegasnya.

Mengenai penganjuran majlis itu, Zuraida berkata, ia harus dikekalkan dan menjadi tradisi PKR Sarawak meraikan setiap perayaan untuk semua kaum.

“Semoga Tahun Tikus ini akan memberi banyak tuah kepada PKR khususnya PKR Sarawak.

“Dan kita akan bekerja keras dan bijak merencana tugas serta peranan untuk Malaysia serta Sarawak agar lebih makmur khususnya dari segi ekonomi,” tambah beliau lagi.