Malaysia Dateline

Konsep Keluarga Malaysia tiru perjuangan Anwar

Dalam perutusan sulungnya sebagai Perdana Menteri, Ahad, 22 Ogos lalu, Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan frasa Keluarga Malaysia sebagai pendekatan baru untuk kerajaan yang dipimpinnya.

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia diambil kerana baginya, keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.

“Saya menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa ini sifatnya lebih inklusif. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum.

“Kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan tetap mengikat mereka semua,” demikian antara ucapannya dalam perutusan tersebut.

Dalam pemahaman yang lebih mudah, Ismail Sabri mahu menggunakan konsep Keluarga Malaysia dalam kerajaan yang dipimpinnya dengan tidak mengenepikan mana-mana kaum sekali pun.

Tiada beza

Sebaik beliau mengungkapkan pendekatan tersebut, ramai pihak dalam Umno menyifatkan Ismail Sabri meniru konsep 1 Malaysia yang digunakan Najib Razak sebelum ini.

Kata mereka, Keluarga Malaysia dengan 1 Malaysia tiada beza apa pun, cuma sebutannya saja yang berbeza.

Konsep Keluarga Malaysia yang cuba diperkenalkan Ismail Sabri semakin diperkatakan apabila beliau kemudian menjemput Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng datang ke pejabatnya pada Selasa, 24 Ogos lalu, selain sebelum itu menawarkan pembangkang untuk bersama dalam Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Menangani Covid-19.

Seolah-olah dengan konsep Keluarga Malaysia oleh Ismail Sabri itu, kerajaan yang dipimpinnya adalah sebuah keluarga besar yang menjadikan ketetapan “No Anwar, No DAP” yang menjadi pegangan Umno selama ini telah bertukar menjadi “Yes Anwar, Yes DAP.”

Kelmarin pula, dalam mesyuarat MT Umno yang pertama kali dihadiri Ismail Sabri selaku Perdana Menteri, nama Keluarga Malaysia telah dipersetujui sebagai nama baru bagi kerajaan untuk menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Kata Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menukar nama kerajaan daripada PN kepada Keluarga Malaysia adalah antara panduan yang diberikan Umno kepada Ismail Sabri selaku Naib Presiden parti itu bagi mengemudi negara ini.

Ia juga, tegas Zahid Hamidi, telah dipersetujui oleh Ismail Sabri di mana selepas ini tiada lagi penggunaan nama PN dalam kerajaan yang dipimpinnya.

“Kerajaan selepas ini akan menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan nama kerajaan PN memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara BN (Umno, MCA, MIC dan PBRS), PN (PPBM, Pas dan Star), GPS dan PBS,” katanya lagi.

Jadi, apa sebenarnya Keluarga Malaysia ini?

Kian menipis

Jika kita perhatikan, frasa Keluarga Malaysia ini tiada apa-apa yang menarik pun, cuma Ismail Sabri ingin menunjukkan beliau adalah Perdana Menteri untuk semua kaum dan bukan untuk orang Melayu semata-mata.

Terutama dalam kerajaan yang sedang berdepan dengan sokongan bukan Melayu yang kian menipis, meski kaum tersebut mewakili 35 peratus komposisi penduduk negara, memperlihatkan pentadbiran atau pendekatan yang mewakili semua kaum adalah sangat penting untuk menunjukkan sikap inklusif.

Sebab itu, sebaik berkuasa pada 2009 lalu, Najib terus memperkenalkan konsep 1 Malaysia dan kini Ismail Sabri pula dengan Keluarga Malaysia.

Begitu pun, jika kita teliti lebih mendalam, keinginan dan keikhlasan menjaga semua kaum di negara ini dengan konsep kekeluargaan tanpa memingkirkan mana-mana pihak telah lama diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim.

Tentu kita masih ingat, sejak puluhan tahun dulu lagi dalam kempen-kempen pilihan rayanya Anwar selalu menyebut – “anak Melayu anak saya, anak Cina anak saya dan anak India anak saya.”

Sebenarnya apa yang disebut Anwar itulah konsep Keluarga Malaysia yang baru cuba mahu diperkenalkan oleh Ismail Sabri sekarang ini.

Malah, berbanding dengan Najib dan Ismail Sabri yang hanya menyebut 1 Malaysia dan Keluarga Malaysia setelah menjadi Perdana Menteri, Anwar telah melakukannya lebih dulu dan sebelum beroleh kuasa lagi.

Dengan itu, Anwarlah sebetulnya Bapa Keluarga Malaysia bagi negara ini.