Malaysia Dateline

Konsep Malaysia Baharu perlu diperhalusi supaya difahami akar umbi, kata PKR

Alan Oh

Konsep Malaysia Baharu yang telah diperkatakan dan menjadi momokan acapkali, seharusnya diperhalusi supaya ia difahami sehingga ke peringkat akar umbi.

Rakyat di bawah seringkali mendengar konsep ini diperkatakan dengan begitu ketara oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH), namun begitu setakat mana ia berjaya difahami sehingga kini.

Demikian persoalan yang dilontarkan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh.

Jelasnya lagi, seringkali golongan di bawah hanya mentakrifkan ia sebagai kerajaan baharu yang mana seluruh sistem boleh diubah, namun begitu ia adalah sebaliknya.

“Pada hakikatnya, konsep Malaysia Baharu bertujuan untuk memulakan semula langkah progresif dan berwawasan dengan meletakkan strategi baharu.

“Ia juga mempunyai objektif untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang amat baik dan dihormati dalam pelbagai sektor.

“Malah kemunculan Malaysia Baharu adalah hasil tindak balas kepada desakan rakyat yang inginkan pembaharuan dalam sistem politik, ekonomi, sosial dan sebagainya,” ujar beliau lagi.

Kata Alan lagi, melalui konsep ini juga rakyat amat inginkan perubahan bagi menegakkan keadilan, tadbir urus yang baik, tahap integriti yang tinggi serta kedaulatan undang-undang.

“Konsep ini juga menyahkan kediktatoran, sebaliknya lebih dekat kepada perpaduan dalam pelbagai aspek demi membina masa depan negara yang lebih baik.

“Selain ini kita perlu memperlihatkan kepimpinan yang lebih matang serta meyakinkan rakyat mengenai polisi dan dasar yang diperkenalkan maupun yang akan dilaksanakan.

“Begitu jua dengan keputusan dasar dalam kabinet tidak lagi berdasarkan kepada konsensus tetapi sokongan majoriti,” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, melalui konsep Malaysia Baharu ini usaha kerajaan PH membanteras rasuah dan korupsi semakin menyerlah dan ketara.

Tambah Alan lagi, reformasi media yang lebih banyak kebebasan amat menarik dan membuka ruang untuk semua golongan rakyat menzahirkan pelbagai pandangan tanpa sekatan, halangan maupun ugutan.

“Negara kini sedang melalui fasa transformasi dan reformasi yang menuntut semua pihak supaya komited, berusaha serta bekerjasama bagi mencapat konsep Malaysia Baharu tersebut.

“Sehubungan itu sebagai rakyat yang benar-benar cintakan negara, adalah wajar memberi dokongan dan kerjasama kepada kerajaan PH untuk merealisasikan impian pelaksanaan konsep Malaysia Baharu.

“Dengan tempoh kurang empat tahun yang masih berbaki, konsep Malaysia Baharu harus direalisasikan semaksimum mungkin bagi membuktikan kepada rakyat bahawa apa yang dilaung-laungkan selama ini mampu dikotakan sebagai sebuah kerajaan, ” kata beliau lagi.