Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid membantah kenyataan Menteri Kewangan bahawa beliau akan terus mengeluarkan kenyataan media utama Kementerian Kewangan dalam Bahasa Mandarin.
Menurut Mohd Azmi lagi, konsep multilingualism yang dinyatakan itu tidak menjadi dasar dalam negara ini.
“Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah dasar dan ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Memang bahasa etnik lain tidak dilarang, sebaliknya diberi ruang untuk digunakan, tetapi Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi kerajaan dalam semua urusan.
“Alasan Guan Eng adalah Malaysia Baharu, ternyata beliau melampaui semangat yang diidamkan oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke 14, ” ujarnya lagi.
Tambah Mohd Azmi lagi, sikap Menteri Kewangan adalah keterlaluan dalam mentafsir semangat Malaysia Baharu.
“Kami amat terkejut dengan sikap beliau dalam isu bahasa yang tidak pernah dibangkit oleh pimpinan kerajaan yang lain sebelum ini.
“Harus ingat bahawa isu bahasa telah membawa rakyat berdemonstrasi di jalanraya beberapa kali dalam sejarah negara.
“Suka diingatkan, jangan kerajaan baru yang memerintah kali ini mencetuskan kebangkitan rakyat untuk memastikan agenda Bahasa Kebangsaan didaulatkan, ” tegasnya lagi.
Kata Mohd Azmi lagi, kemahuan rakyat ialah membangunkan negara dengan identiti nasional dalam kerangka Bahasa Kebangsaan yang disepakati bersama berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu sarannya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad harus menegur sikap Menteri Kewangan agar beliau akur kepada kemahuan majoriti rakyat iaitu mendaulatkan Bahasa Kebangsaan.
Semalam dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan, Lim Guan Eng dipetik berkata, kementerian itu sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Terjemahan ke dalam Bahasa Mandarin dibuat apabila ada keperluan, terutamanya apabila isu tersebut melibatkan terma-terma teknikal.
Katanya terjemahan ini kemudiannya dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau media sosial dan tidak digunapakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan.
“Kenyataan rasmi Bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin jika ada keperluan.
“Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris ataupun sekali-sakala dalam Bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Bahasa Mandarin,” ujar Guan Eng.
Kritikan pelbagai pihak terhadap Guan Eng, ekoran beliau memuat naik kenyataannya dalam bahasa ibunda itu di laman facebook dan twitternya pada Sabtu yang mendapat kecaman netizen dan pimpinan politik dan aktivis di negara ini.