Konsep ‘Negara Al-Amin’ mampu pulihkan krisis negara – Pemuda Amanah

Konsep ‘Negara Al-Amin’ mampu pulihkan krisis negara – Pemuda Amanah

Dalam usaha memulihkan krisis yang melanda negara sehingga menjejaskan imej Malaysia di mata dunia, Pemuda Amanah Nasional menggagaskan konsep ‘Negara Al-Amin’ yang mengutamakan nilai dan prinsip amanah termasuk urustadbir yang baik (good governance), integriti dan akauntabiliti.

Faiz FadzilTimbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata, Konsep ‘Negara Al-Amin’ adalah satu reformasi sistem negara ke arah pembinaan sebuah negara yang maju dan makmur dengan pembentukan masyarakat madani.

“Negara hari ini dilanda krisis pemerintahan yang parah dengan pelbagai skandal rasuah, pembaziran, penyelewengan dan salahguna kuasa pemerintah Umno dan BN sedang mengancam keamanan dan kebajikan rakyat.

“Rakyat hari ini tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi dengan kenaikan harga barang, kos pengangkutan awam, tol dan pelbagai perkhidmatan sosial.

“Kesan keperitan hidup akibat pelaksanaan GST benar-benar dirasai oleh setiap segmen masyarakat sama ada di bandar mahupun di luar bandar,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menegur cara kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam menguruskan bajet negara apabila bajet pendidikan dipotong tetapi tidak bajet Jabatan Perdana Menteri.  

Kejatuhan harga mentah komoditi termasuk getah pula, tambah beliau gagal ditangani kerajaan bagi membantu rakyat miskin.

Keadaan yang berlaku hari ini, ujarnya cukup membebankan rakyat apabila pengangguran masih tinggi manakala pendapatan rakyat yang bekerja pula terutama kelompok B40 tidak mampu menampung perbelanjaan yang semakin meningkat.

Beliau menegaskan kesusahan yang dialami rakyat disumbangkan oleh pemimpin kerajaan yang boros dan korup dengan hutang negara meningkat kepada RM800 bilion yang akhirnya dibebankan ke atas rakyat.

Sehubungan itu, jelas Faiz kerajaan terpaksa bergantung kepada GST dan mengurangkan bajet terhadap sektor kebajikan rakyat bagi menampung perbelanjaan negara.

“Skandal 1MDB menyaksikan syarikat milik negara ini berhutang lebih RM50 bilion yang dijamin oleh bon-bon kerajaan.

“Tiada pendakwaan terhadap salahlaku  Perdana Menteri merompak wang negara melalui kemasukan RM2.6 bilion ke akaun peribadinya yang merupakan salahguna kuasa yang serius.  

“Maka, tidak hairanlah negara direkodkan sebagai negera kedua paling korup di dunia.

Bukan sahaja korupsi menguasai pihak eksekutif, malahan pegawai-pegawai kerajaan juga terlibat dengan pelbagai kes rasuah dan pecah amanah,” kesal beliau.

Ketirisan wang negara melebihi RM30 bilion setahun ini, katanya didedahkan Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau menyifatkan keadaan yang berlaku dalam negara pada hari ini disebabkan tiadanya sifat amanah di kalangan pemimpin negara.

Sifat amanah bukan sahaja diperintahkan Allah sepertimana dalam surah an-Nisa ayat 58, malah tambahnya Rasulullah s.a.w. pula digelar al-Amin oleh masyarakat Arab kerana sikap amanah Baginda.

Pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz pulau, jelas Faiz begitu popular dengan sikap amanah tinggi yang diamalkan.

“Amanah bukan sahaja sifat yang amat dititikberatkan dalam ajaran Islam, tetapi juga bersifat sejagat.

“Justeru, konsep ‘Negara Al-Amin’ yang mengutamakan nilai dan prinsip amanah termasuk urustadbir yang baik (good governance), integriti dan akauntabiliti adalah satu konsep perjuangan yang tuntas dalam usaha untuk memulihkan krisis yang melanda negara hari ini.

“Kebajikan rakyat akan terjamin jika konsep ini diterima rakyat sebagai payung pemerintahan dan kedaulatan negara. Konsep ini juga menjamin kebebasan dan keadilan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)