Malaysia Dateline

Konsep Rahmatan Lil Alamin tembusi ke peringkat Universiti Cambridge, London

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof akan memberikan ceramah umum berkaitan konsep Rahmatan Lil Alamin di University Cambridge, United Kingdom pada 11 November nanti.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee ketika ditemui pemberita hari ini.

Syed Hussien berkata, pihaknya bukan sahaja mahu memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin di Malaysia, tetapi meletakkan konsep itu sehingga dikenali di peringkat dunia.

“Sempena pengisian program minggu Rahmatan Lil Alamin, satu seminar antarabangsa akan diadakan pada esok dan pembentangnya adalah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Di samping memperkenalkannya ke peringkat global, kita juga akan memasukkan konsep Rahmatan Lil Alamin ini dalam ucapan tahunan Dasar Luar Negara dan Persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Rahmatan Lil Alamin ini bukan untuk orang Islam sahaja, malah ianya umum supaya negara-negara barat tahu ini adalah konsep yang dibawa oleh kerajaan Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Buku Rahmatan Lil Alamin Dalam Konteks Masyarakat Kontemporari, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, hari ini.

Terdahulu, Syed Hussien menyempurnakan pelancaran buku tersebut dengan kerjasama pihak UIAM di Dewan Banquet, Bangunan M, Abdul-Rauf, UIAM.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh; Pengurus Bahagian Pembangunan Insan menjalankan tugas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Fauzi Abidin; Pemangku Rektor UIAM, Prof Dr Isarji Sarudin dan Dekan Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Prof Madya Dr Shukran Abd Rahman.

Buku mengandungi 21 bab yang membahaskan konsep Rahmatan Lil Alamin merupakan garapan ahli akademik dari pelbagai universiti awam di Malaysia.

MAIWP juga akan menerbitkan buku Rahmatan Lil Alamin dalam konteks masyarakat kontemporari yang mengandungi pelbagai bahasa termasuk Mandarin, Tamil dan Inggeris sebagai usaha untuk menjelaskannya kepada seluruh lapisan masyarakat dunia.