Malaysia Dateline

Konsert anjuran Fazura dengan harga tiket ‘milik semua’ bermula RM147

Buat julung kalinya, pelakon dan usahawan, Nur Fazura bakal menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan dengan harga tiket bermula dari RM147.

Konsert yang diuruskan oleh Icon Entertainment itu menghimpunkan selebriti tersohor tanah air seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie dan Ella serta penyanyi Indonesia.

Turut bakal menguasai pentas di Axiata Arena, Bukit Jalil itu ialah Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi serta Ahmad Dhani yang mengetuai Ahmad Band bersama isterinya, Mulan Jameela.

Tiket bakal dijual pada 19 Ogos ini.

Dalam sidang media Faztival Fazura 2022 di sebuah hotel terkemuka di ibu negara hari ini, Fazura menyatakan rasa syukur kerana konsert itu akhirnya dapat juga direalisasikan.

Isteri pelakon Fattah Amin itu berkata, beliau telah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama dengan rakan-rakan seni yang amat dikaguminya itu.

“Harga tiket pula sudah tentunya harga yang mampu milik. Ini kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura.

“Selain persembahan hebat artis yang saya kagumi ini, beberapa kejutan istimewa juga bakal kami tampilkan semasa konsert ini nanti,” dipetik BH.

Fazura yang pernah digelar Kim Kardashian Malaysia kerana menjadi artis pertama yang mempunyai program realiti televisyen sendiri berkata, konsert anjurannya itu bagi meraikan peminatnya.

Beliau berkata, peminatnya sentiasa memberikan sokongan kepada kerjayanya dan juga rangkaian produk yang diasaskannya.

“Selain meraikan stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan pencapaian yang terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produk jenama Fazura,” kata Fazura lagi.

Baca juga Ini senarai lagu ketuhanan nyanyian Siti Nurhaliza, lagu kelima mungkin ramai tidak sangka

Baca juga Bergelek bukan semasa majlis akikah tapi acara ulang tahun perkahwinan, Ifa Raziah dibayar berpuluh ribu untuk persembahan