Konsert keluarga meriahkan Festival Hari Wilayah di Dataran Merdeka
Khalid menjadi konduktor untuk puluhan pemain muzik yang bergabung di bawah Orkestra Kuala Lumpur ketika melancarkan Konsert Sayangi Wilayahku yang berkonsepkan hiburan untuk sekeluarga.

Konsert keluarga meriahkan Festival Hari Wilayah di Dataran Merdeka

Sejak sekian lama tidak ada hiburan secara terbuka, warga ibukota malam ini berhibur melalui Konsert Sayangi WilayahKu yang dianjurkan sempena Festival Hari Wilayah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Hiburan berkonsepkan keluarga itu diiringi oleh Orkestra Kuala Lumpur yang menggabungkan artis baru dan lama yang terkemuka di tanah air.

Pasangan ini membawa anak kecil mereka mengikuti Konsert Sayangi Wilayahku di Dataran Merdeka.

“Berhibur sambil menjaga kebersihan,” tulis admin laman facebook DBKL.

Antara artis yang mengambil bahagian adalah Jamal Abdillah dan juga David Arumugan yang terkenal dengan lagu “Kuala Lumpur”.

Konsert ini dimulakan dengan acara gimik apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad memimpin Orkestra Kuala Lumpur yang menggabungkan berpuluh pemain muzik itu.

“Ini benar-benar konsert keluarga,” kata Ismail Ahmad, 45, seorang penduduk Wangsa Maju yang datang bersama isteri dan anak-anaknya.

Selain Khalid dan isteri, turut berada di khemah utama penonton adalah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahrudin, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta para pegawai kanan Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi di bawahnya.