Konspirasi berterusan burukkan Guan Eng dan ahli politik pembangkang

Konspirasi berterusan burukkan Guan Eng dan ahli politik pembangkang

Kerajaan perlu memikul beban di atas tindakan menahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk membuktikan siasatan dan dakwaan bebas daripada sebarang campur tangan eksekutif, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ia amat penting dalam sebuah negara demokrasi demi menghormati kedaulatan undang-undang.

“Keadilan mesti dilihat ditegakkan dan bukan sekadar dilaung-laungkan.

“Apabila saya mendengar berita yang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan ditahan, saya segera menelefon beliau dan bercakap dengannya sebelum beliau ditahan oleh pihak berkuasa.

“Saya menyatakan kepada Guan Eng bahawa saya teguh di belakangnya pada masa yang sangat genting ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Azmin mendakwa, pihak berkuasa menganiayai dan memperlekehkan Guan Eng dan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya yakin sepenuhnya dengan kepimpinan dan pentadbiran Guan Eng di Pulau Pinang.

“Saya menyanjung usaha tidak terhingga beliau dalam melaksanakan reformasi Kerajaan Pulau Pinang sebagai teladan sebuah pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan konsisten dalam melaksanakan tatakelola yang cemerlang.

“Walaupun penahanannya dilakukan dengan kehadiran peguam, tindakan demikian sekali lagi menimbulkan keraguan kita terhadap keadilan dalam proses siasatan serta objektiviti Peguam Negara dalam mengarahkan tindakan sebegini.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, perhatian luar biasa dan tindakan pantas dalam kes Guan Eng ini berbeza sama sekali dengan tindakan yang telah diambil setakat ini terhadap lambakan laporan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak,” ujar Naib Presiden PKR ini.

Kata beliau lagi, rakyat perlu sedar bahawa tindakan Kerajaan itu adalah sebahagian daripada konspirasi berterusan dan bersungguh-sungguh untuk memburuk-burukkan Guan Eng dan ahli politik pembangkang Persekutuan yang lain.

COMMENTS

Wordpress (0)