Konspirasi gelap dalam pembalakan di Johor

Konspirasi gelap dalam pembalakan di Johor

Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim hari ini berkata terdapat konspirasi gelap yang membabitkan beberapa jabatan dalam menguruskan soal pembalakkan yang berlaku di negeri Johor.

Beliau menyatakan bahawa kerajaan kerugian beratus juta ringgit akibat ketirisan dalam proses balak yang dikesan berlaku di negeri Johor.

Menurut beliau yang melawat ke kawasan Hutan Simpan Lenggur (compartment 148A) mendakwa, terdapat pihak yang mengambil peluang akibat kelemahan pihak berkuasa dalam menguruskan pembalakkan yang berlaku.

Khairuddin  A Rahim

Selain itu beliau turut berkata, terdapat pelanggaran syarat penebangan pokok di kawasan pembalakkan yang dikesan berlaku.

“Ia bukan sahaja merugikan kerajaan malah rakyat serta alam sekitar turut terbabit dalam tadbir urus yang lemah di mana kita hari ini maklum bahawa hutan simpan adalah suatu kawasan tadahan air bagi mengimbangi struktur alam.

“Terdapat kesan penipuan yang berlaku seperti pokok kayu tidak bertanda yang masih kecil ditebang secara tidak sah dan dikeluarka dengan tidak membayar cukai.

“Selain itu penipuan lain adalah seperti, rekod pengeluaran kayu dikecilkan jumlahnya kurang dari jumlah tan kayu yang ditenderkan namun kontraktor berkenaan berhak mendapat kawasan tambahan tanpa membayar premium.

“Terdapat juga kes yang membabitkan penanaman semula tidak dibuat selepas proses penebangan berlaku dan hutan telah dibiarkan gondol,” katanya ketika ditemui.

Katanya lagi, maklumat yang diterimanya mendapati terdapat pengeluaran kayu-kayu dengan secara gelap tanpa membayar cukai kepada kerajaan.

Dalam pada masa yang sama, beliau memikirkan soal generasi pada masa akan datang yang pastinya mewarisi hutan simpan ‘gondol’ sekiranya perkara ini terus dibiarkan.

“Kerajaan perlu tegas dalam menyiasat perkara ini termasuk jabatan-jabatan yang terbabit dalam menguruskan hal pembalakkan ini.

“Saya akan membawa laporan lengkap perkara ini kepada pihak tertinggi seperti SPRM untuk mengadakan tindakan membendung perkara ini dari terus berleluasa tanpa ada tindakan.

“Kita harus mencegah dari kegiatan terus berlaku agar bencana yang tidak diingini tidak berlaku di negeri ini seperti sebelum ini,” tegasnya.

Khairuddin juga sebelum ini pernah membawa perkara tersebut ke dalam sidang Dewan Negeri (Dun) Johor namun menurut beliau masih tiada sebarang tindakan diambil hingga hari ini.