Malaysia Dateline

Konspirasi pasti dibuat untuk singkirkan Pas, dakwa Zuhdi

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata parti itu berkemungkinan besar kembali menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, jangkaan tersebut memandangkan adanya konspirasi untuk menyingkirkan Pas di dalam kerajaan.

“Kedudukan Pas di dalam kerajaan ini sudah pasti sangat dibimbangi terutama oleh kuasa Barat dan Timur.

“Konspirasi pasti dilakukan untuk menyingkirkan Pas.

“Hari ini, belum pun sampai dua tahun Pas sudah mula tersingkir beransur-ansur dan berkemungkinan besar selepas PRU-15, Pas kembali menjadi pembangkang,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook semalam itu juga, Zuhdi menegaskan setiap kali gerakan Islam memperolehi kuasa, tampuk pemerintahan yang diperolehi adalah tidak lama.

“Tidak kira bagaimana mereka memperolehi kuasa sama secara demokrasi atau secara militari, tempoh pemerintahan tidak bertahan lama.

“Kuasa Barat terutamanya dan Timur tidak pernah senang apabila gerakan Islam berada di persada kuasa, lantaran konspirasi menjatuhkan mereka segera dilakukan,” katanya.

Tulisannya bertajuk, “Konspirasi Menyingkirkan Gerakan Islam Dari Berkerajaan” itu turut menyebut kejayaan Pas memperoleh “sedikit kuasa” di Kelantan pada1990.

“Bukan sedikit konspirasi untuk menyingkirkan Pas dari kerajaan Kelantan khususnya oleh rejim Dr Mahathir yang memerintah sebelum itu.

“Dengan kebijaksanaan pimpinan Pas, kerajaan yang dikuasai oleh Pas di Kelantan terus bertahan sudah 32 tahun manakala beberapa negeri yang pernah diperintah Pas gagal dipertahankan,” kata Zuhdi lagi.