Malaysia Dateline

PDRM

Konstabel maut tertembak, polis antara disyaki menyamun

Seorang anggota polis berusia 24 tahun ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di rumah sewanya di Lorong Permai Timur 9, Sibu, petang tadi.

Mangsa yang baharu sebulan bertugas di Sibu selepas tamat latihan asas Konstabel itu berasal dari Pahang.

“Ibu Pejabat Daerah Sibu sedang menyiasat kejadian petang tadi dengan terperinci,” kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, lapor BH.

Dua anggota lain difahamkan turut berada di rumah sewa tersebut ketika kejadian kira-kira jam 7 malam itu.

Samun warga Nepal

Sementara itu, seorang anggota polis berpangkat konstabel ditahan susulan disyaki menyamun seorang warga Nepal di kawasan Gelang Patah dan Mutiara Rini, di Iskandar Puteri, malam tadi.

Suspek polis berusia 23 tahun itu ditahan bersama tiga yang lain bekerja sebagai buruh binaan, pemandu bas dan pemandu lori tunda, maklum Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar.

“Hasil siasatan awal mendapati, seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah lampau manakala yang lain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Kita turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua kunci kereta serta alat kawalan jauh, kad bank, kad kuasa polis, sepasang gari tangan, topi ‘baseball’, pelitup muka bercorak warna hitam, selain sebuah kereta Toyota Vios dan kereta Honda City,” dipetik BH.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek, kata datuk direman selama empat hari bermula hari ini hingga 9 Mei ini.