Konsulat Jeneral China di Karachi Pakistan diserang pengganas

Konsulat Jeneral China di Karachi Pakistan diserang pengganas

Kedutaan China di Pakistan pada Jumaat mengesahkan insiden serangan keganasan ke atas Konsulat Jeneral China di Karachi dan mengecam serangan itu.

Menurut kenyataan kedutaan, semua warga China di kawasan bangunan diplomatik itu dilaporkan selamat. Tiga pengganas yang terbabit dalam serangan itu maut.

Agensi berita Xinhua melaporkan, kedutaan turut mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota polis yang terbunuh semasa serangan itu.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan turut mengecam serangan berkenaan dan mengarahkan siasatan terpeinci dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Wilayah Selatan Karachi, Javed Alam berkata selain militan, dua anggota polis dan dua orang awam turut terbunuh.

Tentera Pembebasan Balochistan (BLA) didakwa dalang di sebalik serangan, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan BLA setakat ini.

— BERNAMA