Konsultan Bolasepak akan cabar Najib di Pekan

Konsultan Bolasepak akan cabar Najib di Pekan

Seorang konsultan bolasepak dijangka akan menentang Datuk Seri Mohd Najib Razak di kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini.

Kamarul Ariffin Mohd Shahar,45, anak kelahiran Kuantan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Indera Mahkota ini, berazam untuk menumbangkan seorang pemimpin kleptokrat negara yang kini terpalit dengan pelbagai skandal rasuah dan salahguna kuasa dakwanya.

Justeru beliau mengharapkan Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan itu tidak memandang kecil kemunculan calon Bersatu di Pekan pada PRU14 kali ini, setelah calon PKR dan Pas dalam beberapa kali pilihan raya berjaya ditewaskannya.

Ini kerana katanya, dengan kegagalan kerajaan BN menyelesaikan isu membabitkan Najib yang juga perdana menteri, kerusi Pekan dijangka akan mengulangi kemerosotan undi sebagaimana PRU10 pada 1999 apabila Najib hanya menang majoriti tipis 241 undi menentang calon Pas Ramli Mohamad.

Beliau tidak menafikan pakatan pembangkang amat sukar untuk memenangi Parlimen Pekan tetapi untuk memecahkan kekuatan Najib di Pekan tidaklah mustahil sekiranya 80,000 pengundi akan beralih arah menyokong Pakatan Harapan kali ini.

“Di Pekan kita sudah lihat ‘ombak’ yang beralun-alun dan tidak mustahil dengan kempen berterusan dan segala isu-isu yang menghimpit rakyat gagal diselesaikan kerajaan BN, tidak mustahil akan berlaku ‘tsunami’ di Pekan kali ini.

“Datuk Seri Najib kena ingat beliau pernah menang tipis pada 1999. Walaupun isu ketika  itu disebabkan rakyat tidak menyenangi dasar-dasar Dr Mahathir (ketika menjadi perdana menteri) dan ia tidak terkait dengan dirinya tetapi kesan terhadap jumlah undi berlaku di Pekan.

“Apatah lagi ketika ini beliau sebagai perdana menteri pelbagai dakwaan membabitkan dirinya gagal dijawab oleh kerajaan BN ditambah dengan kos sara hidup rakyat, isu Felda, GST dan pelaburan China di negeri ini, akan menjadi faktor penolak untuk rakyat memberi undi kepada pembangkang bukan sahaja di Pekan malah seluruh negeri pada PRU14,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Parlimen Pekan terdiri empat Dun iaitu N20 Pulau Manis, N21 Peramu Jaya, N22 Bebar dan N23 Chini.

Bersatu akan meletakkan dua calonnya di Peramu Jaya dan Bebar, PKR di Chini dan DAP di Pulau Manis.

Menurut Kamarul Ariffin lagi, sekalipun peluang diberi pertama kali bertanding menentang seorang pemimpin negara, beliau akui kehadirannya sebagai calon untuk memberi saingan.

“Saya kena realistik dalam hal persaingan ini sekiranya tidak menang, saya akan pastikan dapat mengurangkan majoriti Datuk Seri Najib.

“Pesan saya pada YB Pekan, bertarunglah di padang yang rata dan bermain secara bersih.

“Saya pasti YB Pekan akan jadi tumpuan seluruh dunia begitu juga saya yang akan menjadi tumpuan seluruh dunia nanti.

“Sebagai perdana menteri Datuk Seri perlu ingat tidak guna pun jika menang kerusi di Pekan sahaja sebaliknya BN kurang majoriti dalam Dewan Rakyat, takanlah Datuk Seri sanggup jadi Ketua Pembangkang?,” soalnya.

Kamarul Ariffin yang pernah menjadi Pengurus Bolasepak Pantai  pada Sukma 2013 ini juga memberitahu bilik gerakan Pakatan Harapan di Pekan akan dilancar pada 21 April ini.

Pada PRU13 Najib meraih undi sebanyak 51,278 dengan majoriti 35,613 menewaskan calon PKR, Mohd Fariz Abd Talib (15,665). Najib menyandang kerusi Parlimen Pekan sejak 1976.

Pekan secara tradisi  menyaksikan pertandingan dua penjuru begitu juga dijangkakan pada PRU14.

8.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 8.0
CATEGORIES
TAGS