Malaysia Dateline

Kontinjen negara dapat tajaan RM40 juta daripada MAB

Malaysia Airlines Berhad (MAB) merupakan syarikat korporat pertama menyalurkan penajaan berjumlah RM40 juta kepada kontinjen Malaysia dalam program ‘Team MAS’ bermula tahun ini sehingga 2022.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, program Team MAS merupakan inisiatif penajaan yang membabitkan jenama syarikat Malaysia yang bertaraf dunia menjalinkan ikatan penajaan dengan atlet negara di pelbagai peringkat iaitu melibatkan atlet bertaraf dunia dan bakat-bakat baharu.

“MAB juga merupakan penyumbang terbesar setakat ini. Saya berharap tokoh-tokoh korporat dan syarikat lain akan turut serta kerana semua pihak ada tanggungjawab moral dan sosial untuk membangunkan landskap sukan negara,” katanya pada majlis pengumuman MAB sebagai rakan rasmi program Team MAS yang pertama, di sini hari ini.

Beliau berkata sdelain itu, program Team MAS ini membolehkan setiap aset sukan negara yang dimiliki oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara dibangunkan dengan menerapkan nilai komersil.

Majlis menandatangi Memorandum Persefahaman antara KBS dan MAB disempurnakan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pegawai Perolehan Kumpulan MAB, Ignatius Ong Ming Choy.

Syed Saddiq menjelaskan tempoh penajaan tersebut melibatkan beberapa kejohanan penting peringkat antarabangsa yang disertai atlet negara seperti Sukan SEA Manila 2019, Sukan Olimpik Tokyo 2020, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Syarikat penerbangan negara ini merupakan penyokong kuat dalam pelbagai program inisiatif sukan tanahair.  Antara penglibatan MAB adalah penajaan individu kepada atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri dan Pandalela Rinong serta atlet paragliding negara, Nadiah Wafa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail berkata, pihaknya positif terhadap program Team MAS dan menyifatkan penajaan itu adalah sokongan penuh syarikat penerbangan itu kepada pembangunan sukan di negara ini.

“Seperti para atlet kebangsaan, Penerbangan Malaysia juga ibarat ‘duta’ yang mengibarkan bendera Malaysia di serata dunia.

“Dengan penggunaan Team MAS sebagai faktor penyatuan, kita mengakui sokongan terhadap program ini merentasi perbezaan kaum, agama, usia serta perbezaan budaya dan kami merancang untuk mengambil peluang terhadap kerjasama ini bagi memberi kelebihan kepada MAB.

“Kami berharap hubungan yang membawa faedah bersama ini bukan saja memberi kekuatan kepada semua atlet, pegawai dan organisasi yang terlibat tetapi juga untuk membuktikan komitmen kami terhadap pembentukan negara bangsa yang berjaya,” katanya.-BERNAMA