Malaysia Dateline

Kontrak RM30.75 juta semata-mata untuk ganti 200 tiang lampu DBKL?

DAP menggesa pihak kerajaan memperjelaskan butiran kontrak bernilai RM30.75 juta bagi kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian membabitkan penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, orang ramai tertanya-tanya, adakah kontrak bernilai RM30.75 juta itu semata-mata hanya untuk membina 200 tiang lampu?

“Adakah ini bermaksud pembinaan satu tiang lampu perlu menelan kos bernilai sebanyak RM153,750?

“Saya juga akan menjalankan tugas saya selaku wakil rakyat dengan mendapatkan penjelasan daripada DBKL apakah kontrak tersebut diberikan melalui tender terbuka atau tidak.

“Mengapa kontrak itu perlu diberikan melalui Ennova Sdn Bhd dan bukannya terus daripada DBKL atau kerajaan?” soal beliau.

Justeru katanya, kerajaan tiada alasan untuk mengetepikan soal ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kontrak berbelanja begitu tinggi.

Baru-baru ini media telah melaporkan bahawa Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) telah menerima kontrak tersebut melalui syarikat Ennova Sdn Bhd.

SCIB melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd, menerima surat lantikan bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM30.75 juta daripada Ennova Sdn Bhd.

Pengeluar produk pembinaan dan konkrit itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, kontrak itu membabitkan penggantian 200 unit tiang lampu di Lembah Klang untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Perkhidmatan kejuruteraan projek untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL dijangka bermula pada Jun 2022 dan berakhir pada Mei 2023.