Malaysia Dateline

Kontraktor Bumiputera digesa responsif, bersiap siaga perubahan semasa

Kontraktor Bumiputera perlu lebih responsif dan bersiap siaga terhadap keadaan semasa yang penuh perubahan agar berada setara dengan pemain industri di peringkat ASEAN dan dunia, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata kontraktor Bumiputera juga perlu terus berusaha, berinisiatif dan berdaya saing dalam merebut peluang yang ada.

“Kontraktor di negara ini juga perlu mempelbagaikan kegiatan mereka agar tidak hanya bergantung kepada sektor pembinaan sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-40, di sini malam ini.

Baru berkata selain pembinaan, kontraktor boleh menceburi bidang keusahawanan dalam pelbagai sektor seperti teknologi pertanian, petroleum dan gas serta teknologi maklumat dan multimedia.

Beliau turut menegaskan PKMM sebagai organisasi atau ‘payung’ kepada ahlinya juga perlu peka terhadap perubahan dan mampu mengalih haluan dengan cepat dengan menggembleng usaha secara tersusun, serentak dengan arus perubahan.

Menurutnya, keadaan ekonomi negara telah semakin pulih dan pembangunan infrastruktur dilihat kembali aktif melalui tindakan dan perancangan kerajaan.

“Ia dibuktikan dengan nilai perolehan kerajaan sebanyak RM51 bilion dan nilai perolehan swasta RM91 bilion, manakala nilai perolehan bagi penentuan taraf tender Bumiputera sehingga Jun lepas adalah RM1.384 bilion,” katanya.- BERNAMA