Kontraktor ECRL dari China dikecualikan GST?

Kontraktor ECRL dari China dikecualikan GST?

Husam Musa

Naib Presiden AMANAH, Husam Musa mempersoal sejauh mana kebenaran bahawa kontraktor dari China bagi projek raksasa Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) diberi pelepasan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Beliau menggesa penjelasan berkenaan projek yang berhutang RM55 bilion dengan China itu melalui dokumen dengan kepala surat China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd yang dimuat naik di Facebooknya.

“Sejauhmana benar? Syarikat Negara China diberi pelepasan GST. Saya minta Kementerian Kewangan menjelaskan,” kata Husam dalam catatan di media sosial itu.

Dokumen tersebut menyatakan pelepasan berkenaan diberi mengikut Seksyen 56 (3) (a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang membabitkan kuasa Menteri Kewangan untuk berbuat demikian.

Seksyen 56 (3) (a) menyatakan: Menteri boleh, dalam apa-apa hal tertentu dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya patut untuk dikenakan— (a) melepaskan mana-mana orang atau golongan orang daripada pembayaran keseluruhan atau mana-mana bahagian cukai yang boleh dikenakan dan dilevi ke atas apa-apa pembekalan bercukai barang atau perkhidmatan atau apa-apa pengimportan barang atau kelas barang; atau (b) melepaskan mana-mana orang kena cukai atau golongan orang kena cukai daripada pengenaan dan pungutan cukai ke atas apa-apa pembekalan bercukai barang atau perkhidmatan.

CCCC2

CCCC1

Sijil itu memaklumkan kepada pembekalnya tentang pelepasan GST berdasarkan surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 7 Februari lalu.

Turut dicatat pelepasan cukai enam peratus itu berkuat kuasa sejak 26 September 2016.

Mengikut dokumen itu juga, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dinyatakan beralamat di Level 3A, Menara 1 Dutamas, Solaris Dutamas No. 1, Jalan Dutamas di ibu negara.

ECRL melibatkan pembinaan landasan sepanjang 688 kilometer dengan menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Kerajaan sedang membiayai projek yang dijadualkan beroperasi menjelang 2024 itu menerusi pinjaman mudah dari Bank Eksport-Import China dan hutang yang diperolehi dalam pasaran bon.

Sebelum ini, projek ECRL dikritik banyak pihak memandangkan kontraknya diserahkan bulat-bulat kepada China merangkumi bekalan modal, kepakaran, peralatan dan tenaga kerja.

4.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 8.0
CATEGORIES