Malaysia Dateline

Kontraktor orang tengah akan dihapus, anak Melaka lebih diutamakan

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan melalui pendekatan seperti menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor industri dan pembuatan serta membantu menghidupkan semula sektor pelancongan pasca pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, fokus utama kerajaan PH negeri itu turut akan menghapuskan penggunaan kontraktor orang tengah dan mengutamakan mengambil anak Melaka sebagai pekerja kontrak serta pekerja jangka pendek.

“Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan akan menghapuskan penggunaan kontraktor orang tengah dan mengutamakan mengambil anak Melaka sebagai pekerja kontrak serta pekerja jangka pendek.

“Kerajaan Pakatan Harapan Melaka juga akan menambahbaik aspek penjagaan kanak-kanak bagi membolehkan lebih ramai golongan wanita diserap sebagai tenaga kerja,” katanya dalam sidang media hari ini.

Minggu lalu, PH telah melancarkan Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan yang memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan aspek kesejahteraan rakyat, pemerkasaan ekonomi dan pelaksanaan reformasi pentadbiran di Melaka.

Selain fokus menambah peluang pekerjaan, kerajaan PH Melaka juga akan menyelesaikan masalah banjir dan tidak akan melaksanakan penjualan pasir.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru apabila PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) meletak calon di semua 28 kerusi DUN.